Khamis, 29 March 2018 | 9:15am
ZLATAN Ibrahimovic kini berkelana ke Amerika Syarikat. - Foto AFP
ZLATAN Ibrahimovic kini berkelana ke Amerika Syarikat. - Foto AFP

Ibrahimovic aset terbaru Galaxy

LOS ANGELES: Aksi sulung Zlatan Ibrahimovic bersama Los Angeles Galaxy mungkin dapat disaksikan paling awal pada Sabtu ini, menurut pengurus Galaxy, Sigi Schmid.

Bintang Sweden itu dijangka tiba di Selatan California malam ini dan berlatih bersama rakan sepasukan pagi esok sebelum menentang 'musuh' baru mereka, Los Angeles Football Club di StubHub Center.

"Dia seorang yang suka cabaran dan saingan. Jika anda tanya adakah dia cukup cergas untuk aksi 90 minit pada Sabtu ini. Jawapannya tidak tetapi dia mampu menyumbang sesuatu," kata Schmid.

Kedatangan Ibrahimovic ke Selatan California mendapat publisiti meluas minggu lalu dengan iklan muka penuh di LA Times tertera 'Wahai Los Angeles, anda dialu-alukan'.

Pemain veteran berusia 36 tahun itu yang berketinggian 1.95m itu mempunyai reputasi hebat dengan 31 koleksi kejuaraan bersama Ajax, Inter Milan, Barcelona, AC Milan, Paris Saint-Germain dan Manchester United.

Dia disambar Galaxy selepas mendapat pelepasan daripada United tetapi tidak beraksi sejak mengalami kecederaan lutut kanan pada Disember lalu.

Kali terakhir dia beraksi bersama United ketika seri 2-2 menentang Burnley pada 26 Disember lalu.

Schmid berkata, dia dan kelab akan memikirkan kaedah terbaik menggunakan sepenuhnya pengalaman luas Ibrahimovic.

"Sudah tentu dia akan memainkan peranan dalam perlawanan LAFC. Kami akan memantau kecergasannya."

Bagaimanapun Schmid tidak terlalu risau. "Dia pemain yang hebat. Setiap kali anda menurunkan pemain hebat, dia akan membantu anda," katanya. - AFP

Berita Harian X