Sabtu, 3 March 2018 | 12:47am
CONTE (kanan) berdepan City pada aksi EPL. FOTO/AFP
CONTE (kanan) berdepan City pada aksi EPL. FOTO/AFP

Conte bakal kecewa lagi di Manchester

Minggu ini tumpuan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah membabitkan calon juara, Manchester City dan penyandang juara, Chelsea. Pertembungan bakal berlangsung di Stadium Etihad, tengah malam esok waktu Malaysia.

  Seperti ketika bertemu Manchester United di Old Trafford minggu lalu, aksi The Blues menentang jiran Red Devils ini turut dinantikan ramai termasuk penyokong tegar kedua-dua pasukan di seluruh dunia.

  Semua pun sedia maklum, Antonio Conte dan barisannya meninggalkan Old Trafford dengan jiwa remuk selepas tewas 1-2. Kekalahan itu jelas memberi impak besar bukan saja kepada motivasi mereka, malah kedudukan carta liga.

  Selepas perlawanan itu, Chelsea merudum di tempat kelima dengan himpunan 55 mata, dipintas Tottenham Hotspurs menerusi kelebihan dua mata susulan kejayaan menjinakkan Crystal Palace, 1-0.

  Persoalannya, mampukah kelab kota London ini bangkit menebus kekecewaan dengan menewaskan satu lagi pasukan Manchester? Ya. Mungkin bisa, mungkin juga sebaliknya. 

  Bagi penulis, jika bersandarkan kepada prestasi semasa, City tiada sebab untuk gagal memenangi aksi ini. Minggu lalu, mereka sudah merangkul kejuaraan Piala Liga, menewaskan Arsenal dengan keputusan sangat memberangsangkan, 3-0.

  Kelmarin, mereka sekali lagi mengenepikan barisan Arsene Wenger untuk terus mengukuhkan kedudukan di persada liga dengan kelebihan 16 mata. Sekarang ini, mereka hanya menunggu waktu untuk dikalungkan pingat kejuaraan liga.

AKSI ketika Chelsea (jersi biru) tewas kepada United. FOTO/AFP
AKSI ketika Chelsea (jersi biru) tewas kepada United. FOTO/AFP

  Dengan motivasi tinggi menguasai barisan skuad The Citizens, penulis melihat Conte bakal gigit jari sekali lagi apabila meninggalkan Manchester pada awal pagi Isnin, waktu Malaysia.

  Pada pertemuan pertama musim ini 30 September lalu, Pep Guardiola sudah pun berjaya membuatkan Conte kecewa apabila meninggalkan Stamford Bridge dengan kemenangan 1-0.

 Apapun, kelibat Sergio Aguero, Raheem Sterling, Kevin de Bruyne ketika mengemudi City harus jadi tumpuan ketika Alvaro Morata, Eden Hazard, Willlian atau N`golo Kante terus mencari motivasi untuk kembali mencipta kemenangan,

  Sementara itu, kedudukan United di tangga kedua dijangka diambil alih oleh Liverpool seandainya barisan pimpinan Jurgen Klopp itu mampu menewaskan Newcastle, awal pagi esok.

   Ini berikutan Red Devils hanya akan beraksi jam 4 pagi Selasa ini. Dengan prestasi cemerlang yang dipamerkan sebelum ini, The Reds diramal tiada masalah mengutip mata penuh di laman sendiri minggu ini.

  Seperti seterunya itu, United juga perlu memenangi aksi menentang Palace untuk terus kekal di tangga kedua. Tottenham juga berpeluang mengukuhkan peluang kedudukan di tangga keempat apabila bakal berdepan pasukan kerdil, Huddersfield. 

  Spurs ketika ini dipisahkan dua mata dengan seterus London, Chelsea. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-29

Burnley 1 Everton 1

Leicester 3 Bournemouth 1

Swansea 1 West Ham 1

Tottenham 3 Huddersfield 1

Southampton 1 Stoke 1

Watford 1 West Brom 1 

Liverpool 3 Newcastle 2

Brighton 1 Arsenal 3

Man City 2 Chelsea 1

Crystal Palace 0 Man United 2

* Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Editor Sukan Kumpulan NSTP

Berita Harian X