Khamis, 15 Februari 2018 | 1:30pm
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp memuji kesungguhan penyerang bintangnya, selepas pasukannya mengatasi Porto dalam semua aspek permainan. - Foto AFP

Klopp puji permainan sempurna Liverpool

PORTO: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, memuji wira hatrik, Sadio Mane, dan persembahan sempurna pasukannya selepas mereka mara selangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara hasil kemenangan besar ke atas Porto, di sini, awal pagi tadi.

Juara lima kali itu membelasah pendahulu Liga Portugal 5-0, dan ketika ditanya sama ada Liverpool menampilkan persembahan sempurna Klopp berkata: "Ya. Anda boleh katakan begitu, sudah tentu.

"Ia amat profesional, sangat matang pada waktu yang betul, sangat agresif, bertahan dengan baik, menyerang balas dengan baik, mengawal bola, menggerakkannya ke sekeliling.

"Dalam perlawanan ini ia boleh dilakukan, biasanya tidak begitu mudah."


TRIO pemusnah Liverpool, Sadio Mane (kiri), Mohamed Salah dan Roberto Firmino (kanan) terus memperagakan aksi sempurna selepas masing-masing menjaringkan gol ketika menewaskan Porto, awal pagi tadi. - Foto AFP

Dalam salah satu persembahan terbaik Liverpool di tempat lawan sejak Klopp mengambil alih pada Oktober 2015, Mohamed Salah meledak gol ke-30 dirinya musim ini dan Roberto Firmino melonjak ke tangga kedua senarai penjaring Liga Juara-Juara musim ini di belakang Cristiano Ronaldo selepas menjaringkan tujuh gol.

Pengendali dari Jerman itu memuji kesungguhan penyerang bintangnya, selepas pasukannya mengatasi Porto dalam semua aspek permainan.

"Ketika rehat saya berkata, 'situasi babak pertama ketika kita mendahului 2-0 adalah kerana Mo Salah memenangi kembali bola di tengah padang'.

"Itu yang anda perlukan dalam perlawanan sebegini, pertandingan seperti ini," kata Klopp.

Mane adalah pemain kedua Liverpool menjaringkan hatrik Liga Juara-Juara di tempat lawan selepas Michael Owen melakukannya dua kali. - AFP

Berita Harian X