Isnin, 5 Februari 2018 | 9:35pm
MELIHAT kepada keputusan, skuad kendalian Ulisses Morais jelas cukup bersedia untuk mempertahankan gelaran buat kali kelima berturut-turut. - Foto Hairul Anuar Rahim
MELIHAT kepada keputusan, skuad kendalian Ulisses Morais jelas cukup bersedia untuk mempertahankan gelaran buat kali kelima berturut-turut. - Foto Hairul Anuar Rahim

Previu perlawanan tumpuan Liga Super

KUALA LUMPUR: Selepas aksi pertama Liga Super minggu lalu, sudah ada yang mula meramal untung nasib pasukan musim ini.

Daripada enam perlawanan, hanya empat kemenangan direkodkan termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menewaskan Kedah 2-1 bagi memungut tiga mata di Larkin serta menjulang Piala Sultan Ahmad Shah dalam perlawanan Sumbangsih itu.

Melihat kepada keputusan, ia nampak tipis tapi dari segi penguasaan jelas skuad kendalian Ulisses Morais cukup bersedia untuk mempertahankan gelaran buat kali kelima berturut-turut.

Penyerang yang kembali daripada persaraan, Luciano Figueroa dan pemain pertahanan Marcos Antonio yang sebelum ini berehat panjang akibat kecederaan membuktikan mereka adalah permata berharga buat JDT apabila meledak gol kemenangan.

Dengan apa yang dipersembahkan itu khususnya jentera tengah dan serangan yang mantap, tiada masalah untuk skuad Harimau Selatan meraih kemenangan kedua apabila bertemu pendatang baru PKNP FC pada aksi kedua liga di tempat sendiri esok.

Anak buah Abu Bakar Fadzim itu juga langkah kanan apabila mengalahkan Negeri Sembilan 1-0 namun kemampuan sebenar mereka untuk bersaing dengan pasukan elit akan teruji apabila berdepan JDT.

Sementara satu lagi aksi yang bakal menjadi tumpuan pada Rabu pastinya pertemuan Selangor dan Melaka United yang turut melakar kemenangan pada aksi pembukaan.

Selangor yang dibimbing P Maniam membuktikan status jaguh Lembah Klang dengan kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur manakala Melaka United bangkit mengecewakan Kelantan 2-1.

Pasukan Red Giants antara pasukan yang menarik untuk disaksikan dengan kombinasi pemain muda dan berpengalaman menjadi taruhan untuk mereka bersaing merebut kejuaraan.

Dengan kemenangan ke atas musuh setempat itu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, ia memberi gambaran awal bahawa gelanggang baru itu boleh menjadi kubu kuat mereka musim ini.

Manakala Melaka United yang dibimbing Eduardo Almeida, mempamerkan kesungguhan pada aksi pertama namun masih perlu memperbaiki dari aspek bertahan dan memperkuatkan bahagian tengah apabila terlalu banyak bergantung kepada pemain sayap untuk melakukan serangan.

Ramalan:

JDT 3, PKNP 0

Selangor 2, Melaka United 1

Berita Harian X