Ahad, 4 Februari 2018 | 2:53pm
KETUA jurulatih Kedah, Ramon Marcote gagal pertahan Piala Sumbangsih. - Foto Mohd Azren Jamaludin
KETUA jurulatih Kedah, Ramon Marcote gagal pertahan Piala Sumbangsih. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Taktik Marcote gagal sekat Harimau Selatan

JOHOR BAHRU: Pengendali Kedah, Ramon Marcote terpaksa menelan kata-kata betapa corak permainan pasukan itu yang mengamal 'falsafah bola sepak Kedah' mampu mengekalkan Piala Sumbangsih pada musim ini sebaliknya hasrat itu tidak kesampaian apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) merampas kembali piala berkenaan.

Marcote yang kembali membimbing skuad Helang Merah yang dianggap mampu memberi sentuhan emas dalam skuad itu nyata gagal membentuk taktikal ampuh apabila mudah dikuasai skuad Harimau Selatan untuk menewaskan pasukan itu 2-1 pada aksi pembuka tirai Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Alasan pengendali dari Sepanyol di atas kekalahan itu amat mudah tatkala menyifatkan JDT merupakan pasukan hebat di negara sedangkan Kedah dinobat sebagai Pasukan Terbaik pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 (ABK 2017) gagal memperaga aksi terbaik pada perlawanan itu.

"Apa yang anda jangkakan kalau berdepan JDT, sudah tentu ia perlawanan sukar bagi kami dan terpaksa mengubah corak permainan dengan meletak Baddrol beraksi di posisi tengah dan bukan di posisi sayap.

"Kami tahu JDT akan beri tekanan dan menyerang menerusi gerakan sayap kiri dan kanan dengan larian pantas pemain mereka yang beraksi di posisi bek kiri dan kanan sehingga memaksa kami bertungkus lumus untuk menyekat setiap gerakan.

"Perancangan kami pada babak pertama lebih tertumpu untuk beraksi secara padat di posisi pertahanan bagi menghalang asakan barisan serangan JDT namun mereka berjaya menjaringkan gol kerana benteng saya gagal mengawal rapi penyerang mereka," katanya.

Marcote berkata, pada babak kedua, barisan pemainnya cuba melakukan kebangkitan apabila memberi tekanan di benteng pertahanan dengan meletak Baddrol kembali beraksi di posisi sayap kanan dan Amirul Hisyam beraksi di tengah tetapi sukar melepasi skuad kendalian Ulisses Morais yang ampuh di posisi pertahanan.

Bagaimanapun. beliau menambah barisan pemainnnya tidak berputus asa walaupun ketinggalan 1-2 apabila 10 minit terakhir nyata memberi tekanan terhadap JDT sehingga barisan pemain pasukan itu bekerja keras untuk mengelak daripada dibolosi.

"Liridon (Krasniqi) juga tidak beraksi 100 peratus selepas hanya 15 hari sahaja berlatih bersama kami dan dia tampak bergelut untuk beri persembahan terbaik dan saya tetap berpuas hati kerana dia masih beri sumbangan dalam perlawanan itu.

"Apa pun ia kekalahan pertama dan saya optimis kami akan bangkit pada aksi seterusnya malah akan memperbaiki kelemahan sebelum aksi menentang Perak di laman sendiri, Rabu ini," kata Marcote.

Berita Harian X