Rabu, 24 Januari 2018 | 6:28pm
KETUA Jurulatih Skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee akan menimba ilmu berkenaan aspek kejurulatihan di kelab La Liga Sepanyol, Atletico Madrid bermula Mac ini. - Foto Osman Adnan

OKS sah berguru di Sepanyol

JOHOR BAHRU: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee akan menimba ilmu berkenaan aspek kejurulatihan di kelab La Liga Sepanyol, Atletico Madrid bermula Mac ini.

Sebelum ini, Kim Swee pernah menyatakan beliau akan Sepanyol untuk mendapat pendedahan dalam aspek kejurulatihan namun belum ada kepastian tarikh sebenar dan dengan kenyataan Tunku Ismail itu jelas betapa FAM mengambil serius untuk memastikan jurulatih B-23 itu mendapat pendedahan terbaik di kelab ternama.

"Kim Swee akan Sepanyol pada Mac ini mungkin untuk tempoh sebulan atau dua bulan melalui perancangan yang dibuat sejak enam bulan lalu bagi membolehkan beliau mempelajari dan menimba ilmu dalam skil dan pengetahuan bidang kejurulatihan.

"Kemungkinan kelab itu adalah Atletico Madrid dan saya percaya pendedahan itu mampu meningkatkan lagi kualiti kejurulatihan beliau dan mampu beri impak positif untuk membimbing skuad B-23," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Malaysia Books Of Records (MBOR) kepada Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) di sini, semalam.

Terdahulu, Kim Swee memaklumkan dirinya akan mengadap Tunku Ismail dalam masa yang terdekat untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai perancangan jangka masa panjang skuad B-23.

Mengulas mengenai perkembangan pemain muda di Malaysia khususnya skuad B-23, Tunku Ismail memberi sokongan penuh kepada mereka untuk melebarkan sayap beraksi di liga luar yang lebih tinggi persaingannya.

"Bagi pemain daripada skuad B-23, saya berdoa dan berharap mereka semua bermain di luar negara. Pada saya sesiapa pun yang dapat peluang atau tawaran untuk beraksi di pertandingan yang lebih tinggi mereka harus pergi, jangan duduk sini.

"Bila mereka bermain di peringkat yang lebih tinggi banyak memberi kelebihan kepada kita kerana akhirnya selepas mereka balik mereka boleh berkhidmat dan menyumbang untuk pasukan kebangsaan," katanya.

Tunku Ismail juga mahu jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang menggantikan Nelo Vingada untuk menilai pemain muda yang boleh diserapkan ke skuad senior.

"Dari awal saya jadi Presiden FAM, saya sudah maklumkan, pemain muda inilah yang akan menjadi masa depan depan negara sebab itu saya tak bagi tumpuan sangat untuk pasukan yang sedia ada.

"Saya harap Cheng Hoe dapat ambil pemain B-23 tetapi bukanlah semua kerana ia mampu beri mereka lebih pendedahan untuk mewakili skuad kebangsaan untuk bersaing di peringkat antarabangsa," katanya.

Berita Harian X