MANCHESTER: Manchester City meneruskan peluang untuk menjulang empat trofi semusim apabila menewaskan Burnley 4-1, dalam aksi pusingan tiga Piala FA, sebentar tadi dengan dua gol disumbangkan Sergio Aguero.
Begitupun, pendahulu Liga Perdana Inggeris itu terlebih dulu dikejutkan dengan jaringan pembukaan Burnley pada aksi di Etihad yang menyaksikan babak pertama berakhir 1-0.
Ashley Barnes meletakkan Burnley di depan pada minit ke-25 dengan memanfaatkan kesilapan pertahanan City, John Stones.
Tidak cepat melatah, City mula menunjukkan belang pada babak kedua apabila penyerang Argentina, Aguero meledak gol dalam tempoh dua minit berselang bermula pada minit ke-56.
Skuad kendalian Pep Guardiola itu tidak lagi menoleh ke belakang dengan meledak gol ketiga menerusi Leroy Sane pada minit ke-72 dan Bernardo Silva (m-82).
Kemenangan ke atas skuad kendalian Sean Dyche itu memastikan City yang sudah pun melangkah ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara dan separuh akhir Piala Liga mara ke pusingan keempa Piala FA - REUTERS