Khamis, 4 Januari 2018 | 8:55pm
TAN Sri Tony Fernandes dilihat mampu memegang jawatan Presiden FAM sekiranya Tunku Ismail Sultan Ibrahim benar-benar mahu melepaskan jawatan. - Foto Reuters
TAN Sri Tony Fernandes dilihat mampu memegang jawatan Presiden FAM sekiranya Tunku Ismail Sultan Ibrahim benar-benar mahu melepaskan jawatan. - Foto Reuters

Tony 'Superman' yang mampu ganti TMJ

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berpendapat Tan Sri Tony Fernandes sebagai 'Superman' yang mampu menggantikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekiranya beliau benar-benar mahu melepaskan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Tunku Ismail adalah Captain America dan agak sukar untuk beliau lakukan perubahan drastik dalam tempoh singkat. Jika benar Tunku Ismail mahu melepaskan jawatan, saya lihat tidak ada orang lain yang berkelayakan kecuali Tan Sri Tony Fernandes.

"Berdasarkan pengalaman dan kredibilitinya, saya lihat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad itu paling sesuai. Beliau ada pengalaman dalam bidang perniagaan dan pengurusan pasukan," ketika dihubungi hari ini.

Menerusi satu video yang dipaparkan di laman JOHOR Southern Tigers semalam, Tunku Ismail yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) memberi bayangan untuk melepaskan jawatan Presiden FAM.

"Saya mengharapkan ada satu presiden baharu, Superman jadi Presiden FAM kerana saya tidak lama (sebagai presiden).

"Saya akan lepaskan jawatan sebagai Presiden FAM mungkin pada 2018 atau 2019. Ia bergantung tetapi lebih cepat lebih baik," kata Tunku Ismail menerusi klip video berkenaan

Bagaimanapun, Khalid masih mengharapkan Tunku Ismail kekal menerajui FAM dan percaya sekiranya beliau bergabung dengan Tony menerajui FAM, bola sepak negara makin berkembang dan maju.

"Saya masih berharap Tunku Ismail tidak lepaskan jawatannya itu. Malah saya percaya kalau Captain America dan Superman bergabung, ia pasti lebih baik buat bola sepak Malaysia," katanya.

Berita Harian X