Ahad, 31 Disember 2017 | 2:13pm
AKSI bertenaga penyerang Liverpool, Mohamed Salah (kanan) mendapat pujian daripada pengendali, Jurgen Klopp. - Foto Reuters
AKSI bertenaga penyerang Liverpool, Mohamed Salah (kanan) mendapat pujian daripada pengendali, Jurgen Klopp. - Foto Reuters

Salah mampu kekal rentak: Klopp

LONDON: Pengurus Liverpool Jurgen Klopp yakin Mohamed Salah boleh mengekalkan prestasi jaringan mengagumkan yang dilakukannya selepas penyerang Mesir itu menjaringkan kedua-dua gol dalam kemenangan Liga Perdana 2-1 menewaskan Leicester City malam tadi.

Pemain berumur 25 tahun itu yang menandatangani perjanjian pada musim panas, kini menyamai rekod pemain kelab itu, Roger Hunt pada 1960/61 selepas menjaringkan 23 gol pada semua kejohanan sebelum berakhirnya tahun ini.

Salah adalah penjaring kedua terbanyak dalam Liga Perdana musim ini dengan 17 gol, satu gol di belakang pemain Tottenham Hotspur, Harry Kane, dan turut meledak enam gol dalam kancah Liga Juara-Juara.

"Dia boleh mengekalkan tahapnya, sudah pasti," kata Klopp dalam sidang media. "Dia masih muda, semakin bagus. Ini bukan hanya mengenai jaringan gol; dia adalah penting buat kami.

"Dia tahu dan saya tahu dia tidak boleh menjaringkan sebegitu banyak gol tanpa sokongan hebat daripada pemain lain. Saya rasa dia boleh mengekalkan tahapnya."

Terdahulu, Liverpool meraikan kedatangan Virgil van Dijk di Anfield apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Leicester City 2-1 hasil dua jaringan Mohamed Salah.

Van Dijk, yang dibeli dari Southampton dengan rekod perpindahan dunia buat pemain pertahanan pada nilai 75 juta pound (RM411 juta), tidak boleh bermain untuk Liverpool sehingga Januari namun pertahanan tengah Belanda itu akan diminta untuk memperbaiki kelemahan ditunjukkan ketika Leicester mendahului seawal minit ketiga di Anfield.

Ketika Van Dijk melihat perlawanan dari tempat duduk, pertahanan Liverpool Joel Matip melepaskan bola dan Riyad Mahrez melorongkan bola kepada Jamie Vardy untuk jaringan ke-10 penyerang itu musim ini.

Pemain sayap Mesir, Salah kemudiannya menerima hantaran baik Sadio Mane dan mengatasi penjaga gol Kasper Schmeichel untuk jaringan ke-22 miliknya musim ini selepas berpindah dari Roma.

Jaringan itu masih belum cukup buat Salah dan dia menggunakan peluang terbaik buat Liverpool pada minit ke-76. - AFP

Berita Harian X