Sabtu, 30 Disember 2017 | 1:47am
Pengurus Mancester City, Pep Guardiola ketika menentang Newcastle United pada perlawanan EPL di St James Park, Rabu lalu. - Foto REUTERS
Pengurus Mancester City, Pep Guardiola ketika menentang Newcastle United pada perlawanan EPL di St James Park, Rabu lalu. - Foto REUTERS

City makin selesa, pesaing tumpu 4 terbaik

KOLUM APA KATA EPL

Seperti penulis nyatakan minggu lalu, Manchester City kian berada dalam kelas tersendiri. Konsistensi yang dipamerkan oleh barisan pemain pimpinan Pep Guardiola itu sejak beberapa bulan lalu, jelas sukar diruntuhkan pesaingnya.

Kemenangan 1-0 ke atas Newcastle United pada aksi terakhir pertengahan minggu ini, kini meletakkan The Citizens di persada dengan himpunan 58 mata, sekali gus mendahului pesaing terdekat, Manchester United dengan kelebihan 15 mata.

Dengan perbezaan mata yang agak besar itu, tidak salah kalau dikatakan City kini dianggap berada di ambang kejuaraan meskipun fasa kedua saingan musim ini, yang membabitkan 19 perlawanan lagi, hanya baru bermula.

Untuk merampas trofi kejuaraan itu daripada genggaman penyandang, Chelsea, skuad Guardiola kini hanya perlu memenangi sekurang-kurangnya 13 daripada 18 baki perlawanan, termasuk menentang Crystal Palace malam esok.

Mampukah itu dilakukan oleh City? Penulis percaya Guardiola dan barisannya berupaya mencipta sejarah buat mereka, selain beberapa lagi rekod baharu sepanjang mencapai sasaran itu.

Pesaing terdekat mereka seperti United, Chelsea dan Liverpool sendiri sudah pun mengangkat bendera putih` dan kini bertumpu kepada kedudukan empat terbaik. Secara hakikinya, City sendiri yang bakal menentukan nasib mereka.

Menjelang pertemuan menentang Palace jam 8 malam esok waktu Malaysia, peledak gol mereka, Raheem Sterling, sudah pun melaungkan betapa sasaran keutamaan City adalah untuk meraih mata penuh.

Dalam pada itu, United yang terus kecewa selepas mencatat keputusan seri keempat musim ini apabila diikat 2-2 oleh Burnley di laman sendiri pada aksi terakhir, tiada pilihan lain kecuali memenangi aksi menentang Southampton awal pagi esok.

Dengan kedudukan di tangga kedua, kini hanya dibezakan satu mata dengan Chelsea dan lima di belakang Liverpool yang menduduki tangga keempat, barisan Jose Mourinho sangat memerlukan tiga mata dipertandingkan di Old Trafford ini.

Apakah sebenarnya yang membelenggu Red Devils ketika ini sehingga gagal menyerlah? Adakah disebabkan taktikal Mourinho atau pemain United sendiri sudah kehilangan taring? Kita tunggu aksi mereka untuk mendapat jawapan.

Sementara itu, Liverpool yang dikemudi Jurgen Klopp dijangka tiada masalah besar untuk mengatasi Leicester City apabila bertandang ke King Power selepas tampil bergaya membelasah Swansea City, 5-0 pada aksi terakhir.

Tidak cukup dengan itu, motivasi mereka turut dibakar dengan pembelian pertahanan Southampton,Virgil van Dijk bernilai RM410.59 juta, sekali gus menjadikan benteng baharu The Reds itu sebagai pertahanan termahal dunia.

Dalam pada itu, Chelsea akan menyambut kunjungan Stoke City, yang pastinya tidak akan membiarkan lawannya itu memecahkan rekod tidak pernah menang di Stamford Bridge, manakala Arsenal harus tiada masalah mengecewakan West Brom selepas menang 3-2 ke atas Palace, kelmarin.

Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke- 21

Watford 1 Swansea City 1

Huddersfield 1 Burnley 2

Bournemouth 2 Everton 1

Newcastle 3 Brighton 1

Liverpool 3 Leicester City 1

Chelsea 3 Stoke City 0

Manchester United 2 Southampton 1

Crystal Palace 1 Manchester City 4

West Bromwich 0 Arsenal 2

* Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Pengarang Sukan BH

Berita Harian X