Ahad, 17 Disember 2017 | 1:31am
MARCOS Alonso (kanan) meraikan jaringan gol semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Chelsea dan Southampton di Stamford Bridge di London.- Foto EPA
MARCOS Alonso (kanan) meraikan jaringan gol semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Chelsea dan Southampton di Stamford Bridge di London.- Foto EPA

Alonso, Ozil julang Chelsea, Arsenal

LONDON: Chelsea masih mengekalkan peluang tipis bagi merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Southampton, manakala Mesut Ozil menjaringkan gol kemenangan bagi membantu Arsenal menewaskan Newcastle United 1-0, sebentar tadi.

Pada aksi di Stamford Bridge itu, Chelsea melakar kemenangan kedua berturut-turut untuk merapatkan jurang kepada 11 mata dengan pendahulu, Manchester City dan berkongsi mata bersama penghuni tangga kedua, Manchester United yang berdepan West Bromwich Albion, malam ini.

Selepas permulaan hambar ditunjukkan juara bertahan itu yang meletakkan Alvaro Morata di bangku simpanan kerana kecederaan belakang, skuad bimbingan Antonio Conte membuka tirai jaringan pada lewat babak pertama.

Marcos Alonso muncul wira The Blues apabila meledak gol tunggal perlawanan menerusi sepakan percuma yang menewaskan penjaga gol Southampton, Fraser Foster.

Chelsea kini memenangi lapan daripada 10 perlawanan liga tetapi City masih sukar untuk digugat.

Di Stadium Emirates, Arsenal mencatat kemenangan pertama dalam empat perlawanan liga sekali gus menyuntik semangat mereka untuk memburu slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan dengan berada dalam kelompok empat teratas liga.

Dikaitkan dengan perpindahan ke United sebaik kontraknya tamat hujung musim ini, Ozil menunjukkan bakat dimilikinya kepada mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya apabila dia meletakkan Arsenal di depan minit ke-23.

Pemain Jerman itu melakukan rembatan voli cantik bagi menewaskan penjaga gol Newcastle, Rob Ellio sekali gus ia gol ketiga Ozil musim ini.

Lain-lain perlawanan menyaksikan Brighton & Hove Albion sekadar seri tanpa jaringan dengan Burnley, manakala Watford melakar kemenangan bergaya ke atas Huddersfield Town 4-1. - AFP

Berita Harian X