Khamis, 14 Disember 2017 | 12:14pm
ZAHASMI Ismail mengesahkan akan menggalas tugas sebagai ketua jurulatih skuad The President Warriors. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Zahasmi sedia sandang tugas baharu

KOTA BHARU: Bekas pengendali Kelantan, Zahasmi Ismail mengesahkan akan menggalas tugas sebagai ketua jurulatih skuad Piala Presiden pasukan itu bagi musim 2018.

Zahasmi berkata, beliau berterima kasih kepada KAFA yang menawarkan kontrak sebagai jurulatih Piala Presiden apabila tugas mengendalikan The Red Warriors berakhir 1 Disember lalu.

"Saya mengesahkan menerima tawaran KAFA walaupun sebelum ini menyatakan hasrat untuk berehat dan bertenang dalam menentukan hala tuju dalam kerjaya sebagai jurulatih.

"Saya akan memulakan tugas pertama mengendalikan skuad The President Warriors (TPW) bermula Jumaat ini dengan sesi pemilihan pemain di Padang 21 RAMD, Pengkalan Chepa dari 16 hingga 19 Disember ini.

"Tugas itu memerlukan saya lebih bekerja keras membentuk semula TPW dengan barisan pemain dan ramuan baharu kerana sebahagian besar pemain sudah dinaikkan 'pangkat' ke skuad senior musim depan.

"TPW yang kini tinggal enam pemain saja memerlukan ramai lagi bakat muda untuk dinilai dan dipilih bagi melengkapkan senarai kesebelasan utama pasukan," katanya hari ini.

Zahasmi berkata, sebagai jurulatih, beliau berusaha sebaik mungkin menjadikan skuad TPW sebagai platform atau kilang melahirkan pemain berkaliber.

"Tugas memilih pemain berkualiti dan berbakat agak sukar kerana memerlukan penilaian dan penelitian sewajarnya," ujarnya.

Berita Harian X