Rabu, 29 November 2017 | 11:58pm
KETUA Jurulatih Sime Darby FC,Ahmad Yusof akui kecewa selepas pasukannya memilih untuk menarik diri dari Liga Malaysia, musim depan. - Foto Owee Ah Chun
KETUA Jurulatih Sime Darby FC,Ahmad Yusof akui kecewa selepas pasukannya memilih untuk menarik diri dari Liga Malaysia, musim depan. - Foto Owee Ah Chun

Ahmad Yusof kecewa keputusan Sime Darby

KUALA LUMPUR: Keputusan juara Liga FAM musim ini, Sime Darby FC menarik diri dari menyertai Liga Malaysia selepas layak bertanding pada Liga Perdana 2018 amat mengecewakan jurulatihnya, Ahmad Yusof.

Walaupun reda dengan keputusan itu namun jauh di sudut hatinya tetap terselit perasaan terkilan kerana tidak sempat melunaskan impiannya bersama pasukan.

"Saya menerima tawaran melatih Sime Darby dengan impian membawa pasukan ini kembali ke Liga Perdana dan seterusnya ke Liga Super.

"Sasaran pertama itu sudah kami capai apabila muncul juara Liga FAM musim ini. Jadi, saya merancang untuk merealisasikan pula impian kedua musim depan.

"Saya yakin dengan barisan yang ada, ditambah kemasukan beberapa pemain tempatan serta empat import, Sime Darby mampu memberi cabaran dalam Liga Perdana.

"Tapi, cita-cita itu tidak kesampaian apabila mereka mengambil keputusan menarik diri. Sebagai jurulatih, sudah tentu saya kecewa, begitu juga dengan pemain yang bertungkus-lumus membantu pasukan naik ke Liga Perdana," ujar Ahmad.

Walaupun menghormati pendirian kelab namun Ahmad menganggap keputusan diambil Sime Darby itu sebagai satu langkah ke belakang serta merugikan pasukan.

"Ia ibarat kita sudah menebas serta menarah untuk naik ke bukit, apabila bukit sudah di depan mata, kita berpatah balik.

"Tapi, saya serta pemain perlu akur dengan keputusan itu. Sudah tentu mereka mempunyai alasan yang kukuh untuk berbuat begitu.

"Malah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab kerana memberi peluang saya menambahkan ilmu kejurulatihan bersama mereka.

"Kejayaan membawa pasukan itu sebagai juara Liga FAM tetap menjadi kebanggaan saya," kata Ahmad yang kini sedang mencari kelab baru untuk meneruskan kariernya sebagai jurulatih.

Berita Harian X