Ahad, 19 November 2017 | 8:32pm
BEKAS penyerang JDT, Luciano Figueroa kembali meriahkan Liga Super musim depan dengan menyertai skuad Harimau Selatan.
BEKAS penyerang JDT, Luciano Figueroa kembali meriahkan Liga Super musim depan dengan menyertai skuad Harimau Selatan.

Figueroa kembali bersama JDT

JOHOR BAHRU: Ibarat sirih pulang ke gagang apabila bintang import Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa kembali menyertai juara Liga Super empat musim berturut-turut bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Penyertaan semula Figueroa dalam skuad Harimau Selatan disahkan menerusi entri terbaharu laman rasmi Johor Southern Tigers selepas kenyataan dikeluarkan oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest, hari ini.

Dalam kenyataannya Prest mengucapkan selamat kembali kepada Figueroa yang sinonim dengan panggilan `Lucho' dalam kalangan rakan sepasukan.

"Dia adalah legenda kami dan juga duta kelab, kehadiran semula Figueroa adalah satu penghormatan tatkala dia memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa dan amat dihormati oleh rakan sepasukan," kata Prest.

"Dia akan menjadi contoh kepada semua pemain kami dan dia kini dalam usaha mengembalikan kecergasan dan memantapkan fizikal di Argentina.

"Semestinya kami gembira gembira mempunyai pemain berkualiti dalam skuad kami. Kami memiliki pemain senior yang berkualiti seperti Luciano, Natxo Insa, Marcos Antonio, Hariss Harun, Aidil Zafuan (Abd Radzak) dan Safiq Rahim untuk memimpin barisan pemain muda dalam skuad JDT."

Figueroa menyertai JDT pada musim 2014 namun pada penghujung tahun 2015, dia mengambil keputusan untuk bersara selepas membantu JDT muncul juara liga pada kedua-dua musim itu selain menjulang skuad Harimau Selatan menjuarai Piala AFC pada musim 2015.

Prest menambah gandingan pemain berpengalaman jelas penting dalam skuad Harimau Selatan bagi membimbing mereka untuk menjadi pemain terbaik di masa hadapan dan ia bakal menguatkan lagi skuad itu mengharungi saingan Liga M..

"Kami akan berkongsi maklumat lanjut mengenai pemain-pemain yang akan ditandatangani dan juga mengenai pembangunan skuad untuk musim depan dengan lebih kerap," kata Prest.

Berita Harian X