Khamis, 9 November 2017 | 7:15pm
SKUAD B-23 kendalian Datuk Ong Kim Swee lakar kejutan mara ke Kejuaraan B-23 AFC 2018 yang berlangsung di China, Januari depan.

Skuad pelapis cetus impak positif

KUALA LUMPUR: Prestasi memberangsangkan skuad pelapis negara dalam beberapa kejohanan yang disertai dilihat mampu membawa sinar baharu kepada arena bola sepak negara pada masa akan datang.

Ketika prestasi skuad senior negara terumbang-ambing dan gagal memberikan persembahan meyakinkan, barisan muda negara nyata gah memberi cabaran di peringkat kelayakan sehingga berjaya menempah tiket ke saingan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang akan berlangsung pada tahun hadapan.

Bermula dengan skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee, mereka mencipta kejutan apabila mengungguli Kumpulan H yang turut dihuni gergasi Asia Tenggara, Thailand sekali gus mara ke Kejuaraan B-23 AFC 2018 yang berlangsung di China, Januari depan.

Kecemerlangan ini diteruskan skuad Bawah 16 tahun (B-16) dengan anak buah Lim Teong Kim itu berjaya mengesahkan status sebagai lima pasukan naib juara terbaik pada pusingan kelayakan meskipun sudah memiliki tiket automatik selaku tuan rumah pada Kejohanan B-16 AFC 2018 yang berlangsung pada Oktober di negara ini.

Malam tadi, skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara memberi satu lagi berita gembira walaupun terpaksa menanti penuh debaran apabila turut mara ke saingan Kejuaraan B-19 AFC 2018 di Indonesia apabila anak buah Bojan Hodak itu muncul lima naib juara terbaik apabila menjadi naib juara Kumpulan F di belakang Korea Selatan.

Justeru, bekas pembantu jurulatih skuad kebangsaan era 80-an, Datuk Khaidir Buyong mengakui hakikat ini sedikit sebanyak membuktikan betapa program pembangunan yang dijalankan sebelum ini sudah mula menunjukkan hasil.

Namun, bekas pemain kebangsaan itu mahukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya terus bekerja keras bagi memperkasa program pembangunan bola sepak sekaligus memastikan skuad pelapis negara dapat meneruskan prestasi cemerlang pada kejohanan yang bakal disertai mereka selepas ini.

"Saya gembira apabila melihat prestasi skuad pelapis negara dan mereka inilah aset negara yang akan membantu memulihkan kembali kualiti bola sepak negara kita. Jika selama ini kita berdepan 'penyakit' apabila bola sepak kita kian merosot, pemain pelapis inilah yang akan menjadi 'ubatnya'.

"Saya optimis jika mereka meneruskan momentum sebegini, sudah pasti mereka mampu pergi lebih jauh. Dengan apa diraih setakat ini, setidak-tidaknya kita boleh menarik sedikit nafas lega apabila melihat potensi yang mampu diberikan mereka pada masa akan datang," katanya.

Berita Harian X