Khamis, 9 November 2017 | 7:41am
SKUAD B-19 menempah slot ke pusingan akhir Kejuaraan B-19 AFC 2018 di Indonesia apabila mengesahkan kedudukan dalam kelompok lima naib juara terbaik pada kempen kelayakan yang berakhir, malam tadi. - Foto AFC
SKUAD B-19 menempah slot ke pusingan akhir Kejuaraan B-19 AFC 2018 di Indonesia apabila mengesahkan kedudukan dalam kelompok lima naib juara terbaik pada kempen kelayakan yang berakhir, malam tadi. - Foto AFC

Skuad Hodak sah ke Indonesia tahun depan

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 19 tahun negara (B-19) menempah slot ke pusingan akhir Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Indonesia apabila mengesahkan kedudukan dalam kelompok lima naib juara terbaik pada kempen kelayakan yang berakhir malam tadi.

Skuad kendalian Bojan Hodak yang tewas 0-3 kepada Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan F sememangnya mengharapkan keajaiban untuk layak ke saingan berprestij itu selepas sekadar menamatkan kedudukan di tangga kedua kumpulan dengan tiga mata.

Meskipun berjaya menewaskan tiga pasukan lain iaitu Timor Leste (3-1), Brunei (1-0) dan Indonesia (4-1), namun perubahan format pertandingan menyaksikan hanya aksi menentang skuad muda Garuda sahaja diambil kira.

PEMAIN negara (kiri) ketika cuba mengasak pemain Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan F. - Foto AFC
PEMAIN negara (kiri) ketika cuba mengasak pemain Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan F. - Foto AFC

Skuad negara seharusnya berterima kasih kepada pasukan Arab Saudi apabila bangkit daripada ketinggalan untuk merakam kemenangan dramatik ke atas Yaman 2-1 yang berlangsung di Stadium Putera Mohd Fahad, Arab Saudi awal pagi tadi sekali gus muncul sebagai juara kumpulan D sambil menutup peluang jiran tetangganya itu untuk layak ke pusingan akhir.

Dengan berakhirnya kempen kelayakan sebentar tadi, maka lengkaplah pencarian 16 pasukan yang akan berentap bersama-sama Indonesia selaku tuan rumah yang dijadualkan berlangsung pada September depan.

Pasukan-pasukan berkenaan ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Tajikistan, Qatar, Arab Saudi, Jordan, Korea Selatan, China, Vietnam, Jepun dan Australia dengan masing-masing muncul sebagai juara Kumpulan A-J.

gn4id:23605943

Manakala lima pasukan naib juara terbaik pula terdiri daripada Iraq, Thailand, Korea Utara, Taiwan dan Malaysia.

Kejayaan itu turut mengikut jejak dua lagi skuad muda negara iaitu B-23 dan B-16 yang turut layak beraksi di pusingan akhir AFC tahun depan di mana pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee akan beraksi di China Januari ini, sementara skuad Lim Teong Kim menjadi tuan rumah, Ogos nanti.

Dengan prestasi skuad senior negara masih tidak menentu, pencapaian tiga pasukan adik ini sekurang-kurangnya membawa sinar harapan baharu buat bola sepak negara untuk kembali dihormati sekali gus mempamerkan belang di arena antarabangsa.

Berita Harian X