Ahad, 5 November 2017 | 10:29pm
KEJAYAAN JDT menjulang Piala Malaysia adalah hasil usaha gigih pasukan yang tidak berhenti bekerja sepanjang musim ini. - Foto Aziah Azmee
KEJAYAAN JDT menjulang Piala Malaysia adalah hasil usaha gigih pasukan yang tidak berhenti bekerja sepanjang musim ini. - Foto Aziah Azmee

Kami pasukan terbaik: Safiq

KUALA LUMPUR: "Kami yang terbaik!". Itu reaksi kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim ketika ditanya apa kunci kejayaan pasukan itu hingga berjaya menjuarai Piala Malaysia musim ini.

Kemenangan 2-0 ke atas juara bertahan Kedah pada final di Stadium Shah Alam malam tadi menyaksikan Safiq melengkapkan kejuaraan saingan tempatan bersama kelab selatan tanah air itu.

Malah, dia yang juga kapten skuad kebangsaan menegaskan betapa perjuangan JDT masih belum berakhir dan akan berusaha untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

"Kami tahu kekuatan kami dan kami hanya beraksi dengan corak permainan kami. Kami yang terbaik setakat ini, itu yang saya rasa.

"Ini impian saya dan mungkin juga impian semua pemain untuk mencipta satu lagi sejarah buat JDT. Syukur, kami akhirnya berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia.

"Memang (di peringkat) domestik saya sudah lengkapkan semua piala, tapi saya masih dahagakan kejayaan. Saya perlukan lagi kejayaan untuk kelab dan juga pencapaian peribadi," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

PEMAIN JDT meraikan kejayaan menewaskan Kedah pada final Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan
PEMAIN JDT meraikan kejayaan menewaskan Kedah pada final Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan

Pada aksi malam tadi, jaringan Aidil Zafuan Radzak dan Gonzalo Cabrera pada setiap babak berjaya memberi kejuaraan sulung buat JDT dalam saingan Piala Malaysia, sekali gus membawa kembali piala berprestij itu ke Johor selepas 26 tahun.

Selain itu, Safiq turut menyifatkan kejayaan menjulang Piala Malaysia hasil usaha gigih pasukannya yang tidak berhenti bekerja sepanjang musim ini.

"Ramai yang beranggapan negatif terhadap pasukan kami, namun walau apa sekalipun orang kata, kami tetap bersatu sebagai satu keluarga.

"Kami tetap bersama dalam setiap kenangan pahit, manis, menang, seri dan juga sewaktu pasukan tewas," katanya.

Berita Harian X