Ahad, 5 November 2017 | 7:37pm
KHALID Ali (kanan) menjelaskan tindakan pemain JDT, Safiq Rahim melepaskan geram sehingga mencarut adalah suatu perlakuan kurang sopan yang tidak seharusnya diungkapkan. - Foto Osman Adnan
KHALID Ali (kanan) menjelaskan tindakan pemain JDT, Safiq Rahim melepaskan geram sehingga mencarut adalah suatu perlakuan kurang sopan yang tidak seharusnya diungkapkan. - Foto Osman Adnan

Safiq bikin panas

KUALA LUMPUR: "Selama 40 tahun saya bergelar pemain bola sepak, rasanya tak pernah dengar lagi ada pemain yang mencarut kepada penyokong lawan, kata bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali mengenai tindakan biadap ketua pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim yang dikatakan mengeluarkan perkataan lucah dipercayai ditujukan kepada pengkritiknya.

JDT berjaya menewaskan Kedah 2-0 dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi dan Safiq ketika meraikan kemenangan itu selepas perlawanan tamat seperti melepaskan geram sehingga mencarut di depan jurugambar yang sedang merakam detik manis pemain kelab Harimau Selatan.

Menerusi rakaman video berdurasi satu minit yang tular di laman sosial, kapten Harimau Malaya itu mengatakan "P..... kepada semua pengkritik, wa (saya) cakap sekarang" kata Safiq dalam rakaman itu.

Jelas Khalid, sebagai seorang pemain profesional yang menjadi tumpuan masyarakat termasuk kanak-kanak, ia adalah suatu perlakuan kurang sopan yang tidak seharusnya diungkapkan Safiq apatah lagi secara terbuka.

"Sebagai kapten JDT dan kapten pasukan bola sepak Malaysia, perkataan macam itu tak berapa baik. Saya rasa dia melepaskan geram kepada pengkritik.

Kita kena terima hakikat sebenar, ada orang benci dan ada juga orang suka kita. Lebih-lebih lagi apabila kita mencapai kejayaan mestilah ada perkataan tak elok daripada penyokong pasukan lawan.

"Sebagai orang terkenal dan selebriti, ia adalah lumrah dan rasanya Safiq tahu mengenai perkara itu.

"Malah, selama saya bermain bola sepak dulu bersama-sama Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari sekalipun, tak pernah kami hentam balik penyokong. Tapi kalau terhadap pemain lawan ketika bermain, itu biasa.

"Cuma apa yang dibuat Safiq agak memeranjatkan kita apabila mencarut kepada penyokong dan pengkritik lawan," katanya.

Berita Harian X