Rabu, 1 November 2017 | 9:30am
PENJAGA gol Olympiacos, Silvio Proto berjaya menangkap bola untuk menghalang pemain Barcelona, Lionel Messi. - Foto EPA
PENJAGA gol Olympiacos, Silvio Proto berjaya menangkap bola untuk menghalang pemain Barcelona, Lionel Messi. - Foto EPA
PENYERANG Barcelona, Luis Suarez (kanan) cuba mengasak pertahanan Olympiakos pada aksi Kumpulan D Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AFP
PENYERANG Barcelona, Luis Suarez (kanan) cuba mengasak pertahanan Olympiakos pada aksi Kumpulan D Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AFP

Messi, Suarez gagal robek Olympiakos

ATHENS: Kelab gergasi Sepanyol, Barcelona harus menunggu untuk menjamin tempat ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara selepas tercicir mata buat kali pertama dalam aksi Kumpulan D apabila terikat tanpa jaringan dengan Olympiakos Piraeus, awal pagi tadi.

Jurulatih Barca, Ernesto Valverde menyaksikan anak buahnya menguasai hampir keseluruhan permainan selain mencipta beberapa peluang berharga namun tuan rumah berjaya mengekang asakan bagi meraih mata sulung mereka.

Penjaga gol Olympiakos, Silvio Proto mempamerkan prestasi luar biasa di Stadium Georgios Karaiskakis apabila berjaya menafikan beberapa cubaan gandingan berbisa Lionel Messi dan Luis Suarez.

Luis Suarez (tengah) melakukan sepakan akrobatik ketika bertemu Olympiakos di Stadium Karaiskakis. - Foto AFP
Luis Suarez (tengah) melakukan sepakan akrobatik ketika bertemu Olympiakos di Stadium Karaiskakis. - Foto AFP

Barcelona kini berada di puncak kumpulan dengan 10 mata dan keputusan itu secara tidak langsung meneruskan rentak tanpa kalah mereka dalam semua pertandingan kepada 15 perlawanan dengan 13 kemenangan dan dua keputusan seri.

Olympiakos yang dikendali oleh Takis Lemonis - pasukan yang sedang bergelut dalam Liga Super Greece - akhirnya meraih mata pertama mereka dengan mengikat Barca buat julung kali sejak April lalu.

Valverde yang meraih tiga gelaran ketika bersama Olympiakos pada 2008 dan 2012, diberi sambutan luar biasa oleh penyokong tuan rumah yang memaparkan sepanduk besar bertulis 'Ernesto terima kasih untuk segala-galanya'.

DUA pemain Olympiacos cuba menghalang pergerakan Jordi Alba (tengah) pada aksi Kumpulan D Liga Juara-Juara menentang Barcelona, awal pagi tadi. - Foto EPA
DUA pemain Olympiacos cuba menghalang pergerakan Jordi Alba (tengah) pada aksi Kumpulan D Liga Juara-Juara menentang Barcelona, awal pagi tadi. - Foto EPA

"Saya amat tersentuh dengan pengalaman kembali ke sini malam ini," kata Valverde.

"Saya menyukai penyokong di sini dan mereka menghargai tugas saya; ia sesuatu yang menakjubkan untuk melihat penerimaan mereka buat seorang jurulatih pasukan lawan - ia jelas menunjukkan sikap mereka.

"Olympiakos pasukan yang amat kuat dan dengan bantuan penyokong, mereka meraih keputusan hebat dan kami mengucapkan tahniah kepada mereka. Saya harap mereka layak ke pusingan seterusnya tapi perjalanan masih lagi jauh." - Reuters

Berita Harian X