Selasa, 31 Oktober 2017 | 1:13pm
PASUKAN Jabatan Penerangan Pulau Pinang muncul juara selepas menewaskan Kelab Media Mutiara Pulau Pinang 4-3 bagi merebut Piala Ketua Pengarah Penerangan Malaysia di Stadium USM, kelmarin. - Foto Rudy Syareme Sheriffudin

JPPP muncul juara Piala Ketua Penerangan

GEORGETOWN: Jabatan Penerangan Pulau Pinang (JPPP) muncul juara selepas menewaskan Kelab Media Mutiara Pulau Pinang 4-3 dalam saingan Piala Ketua Penerangan Malaysia 2017 di Stadium Universiti Sains Malaysia (USM), kelmarin.

Dua gol Jabatan Penerangan Pulau Pinang dijaringkan Abdul Waasiek Ahmad Fikri manakala Eliasak Omar dan Zuhairi Zulkifli masing-masing satu gol.

Zamri Eshak menjaringkan hatrik buat Kelab Media Mutiara Pulau Pinang biarpun terpaksa akur dengan kekuatan pemain lawan.

Exco Sukan Kelab Media Mutiara Pulau Pinang, A Selvam berkata, meskipun pasukannya tewas tipis namun pemain memperlihatkan semangat kesukanan cukup tinggi.

Menurutnya, pujian dan penghargaan perlu diberikan kepada semua pemain kerana berjaya mempamerkan aksi terbaik sepanjang 60 minit perlawanan walaupun bermain dalam keadaan hujan.

"Kami tidak pernah berputus asa untuk mencuba dan memperbaiki segala kelemahan yang ada untuk menghadapi perlawanan akan datang selain memantapkan lagi pasukan," katanya.

Berita Harian X