Selasa, 24 Oktober 2017 | 5:44pm
KPBJDT sudah membuat persiapan lebih awal apabila menempah 35 buah bas untuk membawa penyokong kelab itu menyaksikan aksi final Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Shah Alam, 4 November ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
KPBJDT sudah membuat persiapan lebih awal apabila menempah 35 buah bas untuk membawa penyokong kelab itu menyaksikan aksi final Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Shah Alam, 4 November ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

KPBJDT tempah 35 bas final Piala Malaysia

JOHOR BAHRU: Kelab Penyokong Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (KPBJDT) sudah membuat persiapan lebih awal apabila menempah 35 buah bas untuk membawa penyokong kelab itu menyaksikan aksi final Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Shah Alam, 4 November ini.

Presiden KPBJDT, Azman Jalil berkata, tempahan bas itu perlu dilakukan lebih awal bagi mengelak ketiadaan pengangkutan untuk membawa penyokong memberi sokongan kepada skuad Harimau Selatan.

Timbalan Presiden KPBJDT, Mohd Fadzli Sapie pula akan ke Alor Setar bersama penyokong lain untuk menyaksikan perlawanan terakhir Liga Super Johor DT menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

"Selain menyaksikan perlawanan liga itu, Fadzli akan mengadakan perjumpaan bersama Presiden Kelab Peminat Bolasepak Kedah (KPBK), Ahmad Fazli Mansor untuk mengeratkan lagi hubungan antara dua kelab penyokong.

"Langkah perjumpaan itu bagi menyelaraskan dan berbincang untuk kemudahan kedua-dua penyokong bola sepak dan ia dilihat mampu memberi impak positif terhadap penyokong masing-masing.

"Kami sedar keterujaan kedua-dua pasukan sama ada penyokong Johor DT atau Kedah inginkan pasukan mereka menjulang Piala Malaysia namun dalam keghairahan itu, kita juga harus saling hormat menghormati," katanya.

Mengulas mengenai kejayaan skuad Harimau Selatan melangkah ke final piala tertua di rantau Asia itu, Azman berharap Johor DT mampu membawa pulang piala itu ke Johor selepas kali terakhir Johor menjulang kejuaraan pada 1991.

Percubaan Johor DT untuk memenangi Piala Malaysia pada 2014 tidak kesampaian selepas tewas 3-5 kepada Pahang menerusi penentuan sepakan penalti.

"Kami tahu kesungguhan Kedah mahu mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia namun saya harap pemain Johor DT yang dibimbing Ulisses Morais menafikan hasrat skuad Helang Merah dan kami akan sentiasa memberi sokongan tidak kira menang atau kalah," kata Azman.

Berita Harian X