Khamis, 19 Oktober 2017 | 9:00pm
 JURULATIH JDT, Ulisses Morais (kiri) tetap waspada ancaman daripada Perak pada saingan separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini. - Foto Hairul Anuar Rahim
JURULATIH JDT, Ulisses Morais (kiri) tetap waspada ancaman daripada Perak pada saingan separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Kedudukan JDT masih belum selamat

JOHOR BAHRU: Kelebihan satu gol tempat lawan yang dimiliki Johor Darul Ta'zim (JDT) dianggap masih belum menjamin tiket untuk Harimau Selatan mara ke final Piala Malaysia musim ini.

Perkara itu diakui jurulatih JDT, Ulisses Morais sambil menegaskan anak buahnya perlu memberi fokus 100 peratus untuk meraih kemenangan ke atas Perak pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini.

Katanya, segala kelebihan terutama beraksi di gelanggang sendiri harus digunakan skuad kendaliannya untuk memastikan impian mara ke final dapat direalisasikan selepas 90 minit perlawanan.

"Kami tetap melakukan persediaan terbaik untuk mengharungi perlawanan separuh akhir kedua dan kami juga mahukan kemenangan.

"Perak pasukan yang bagus dan kami mungkin ada sedikit kelebihan gol tempat lawan. Tapi ia belum menjamin sepenuhnya untuk kami ke final.

"Kami perlu melupakan keputusan separuh akhir pertama kerana tidak boleh hanya mengharapkan keputusan itu, sebaliknya kami perlu bekerja keras," katanya yang mula membimbing JDT sejak Jun lalu.

Piala Malaysia adalah satu-satunya trofi yang masih belum dikecapi skuad Harimau Selatan dalam kancah bola sepak tempatan ketika ini dan mereka pernah mara ke final pada 2014, namun dikecewakan Pahang menerusi penentuan penalti 5-3.

Malah, di atas kertas, JDT dianggap memiliki kelebihan untuk mara ke final piala berprestij itu buat kali kedua berbanding Perak.

Selain itu, Morais turut mengesahkan dua pemainnya Gary Steven Robbat dan Junior Eldstal mengalami kecederaan selepas aksi separuh akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh, Ahad lalu.

"Junior dan Gary mengalami kecederaan kecil tapi tidak serius. Kami akan lihat keadaan mereka sama ada bersedia atau tidak untuk perlawanan Sabtu ini.

"Saya fikir tiada masalah dan jika mereka tidak dapat bermain, saya akan buat pertukaran. Apapun, saya tidak bimbang kerana kami mempunyai ramai pemain yang berkualiti," katanya.

Berita Harian X