Selasa, 17 Oktober 2017 | 6:56pm
BEKAS pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan akui berminat untuk kembali terbabit dalam kancah bola sepak tempatan.

Wan Jamak cari pasukan

KUALA LUMPUR: Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan mengakui berminat untuk kembali terbabit dalam kancah bola sepak tempatan.

Wan Jamak bagaimanapun menjelaskan fokusnya kini lebih kepada mencari peluang untuk membimbing skuad muda berbanding pasukan senior dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Katanya, matlamat utamanya untuk melahirkan lebih ramai bakat muda yang mampu menjadi aset kepada masa depan bola sepak negara.

"Sudah lama sebenarnya saya berehat dan sekarang ini terdetik juga di hati saya untuk kembali terbabit dalam bola sepak.

"Bagaimanapun, saya lebih suka untuk melatih pasukan membabitkan pemain muda seperti skuad Piala Presiden.

"Sebab dari situ saya dapat membangunkan pemain. Setakat ini belum ada tawaran lagi, cuma saya akan cuba cari pasukan," katanya yang kali terakhir membimbing PKNS pada 2014.

Sebelum PKNS, Wan Jamak pernah membimbing beberapa pasukan Liga M termasuk Kedah, Negeri Sembilan dan Johor.

Antara pencapaian terbaik yang dikecapi Wan Jamak ketika membimbing Negeri Sembilan apabila menjulang Piala Malaysia pada 2009 dan Piala FA 2010.

Berita Harian X