Selasa, 17 Oktober 2017 | 3:58pm
PEMAIN bawah 19 tahun Kedah meraikan kejayaan setelah muncul Johan Piala Belia dengan menumpaskan pasukan bawah 17 tahun dari Sekolah Sukan Malaysia Pahang di Stadium Darulaman. - Foto Amran Hamid

Piala Belia berjaya lonjak pemain muda

ALOR SETAR: Kejayaan skuad Belia Kedah (B19) menjulang trofi Piala Belia 2017 dengan menumpaskan Sekolah Sukan Malaysia Pahang B17 (SSMP B17), malam tadi berjaya melonjakkan kredibiliti pemain muda negeri itu dalam pembangunan bola sepak negara.

Kedah menang tipis 1-0 di Stadium Darul Aman untuk mengikat agregat 3-3, tetapi dinobatkan selaku juara berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar berkata, berdasarkan semangat serta persembahan kedua-dua pasukan, beliau yakin kelompok pemain muda ini berpotensi besar untuk menjadi pemain pelapis negara yang berkaliber.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad Piala Belia Kedah, Mohamad Ramlee begitu gembira apabila taktikal yang diserapkan kepada pasukan berjaya diterjemahkan pemainnya di atas padang.

"Skuad ini ada potensi untuk lebih cemerlang di masa depan. Sebahagian daripada mereka akan diserapkan ke skuad Piala Presiden dan mungkin ada yang akan menyertai skuad senior Kedah.

"Kemenangan ini adalah hasil usaha semua pihak dan satu kejayaan yang membanggakan. SSMP memang memiliki kekuatan kerana diwakili ramai pemain berbakat dari seluruh negara.

Berita Harian X