Isnin, 16 Oktober 2017 | 11:47pm
PEMAIN bawah 19 tahun Kedah meraikan kejayaan setelah muncul Johan Piala Belia dengan menumpaskan pasukan bawah 17 tahun dari Sekolah Sukan Malaysia Pahang di Stadium Darulaman. - Foto Amran Hamid
PEMAIN bawah 19 tahun Kedah meraikan kejayaan setelah muncul Johan Piala Belia dengan menumpaskan pasukan bawah 17 tahun dari Sekolah Sukan Malaysia Pahang di Stadium Darulaman. - Foto Amran Hamid

Piala Belia 2017: Kedah muncul juara

ALOR SETAR: Gol tunggal separuh masa kedua di Stadium Darul Aman malam ini, memberi kelebihan buat Kedah untuk membenam Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP B-17), sekali gus muncul juara Piala Belia 2017.

Walaupun aksi timbal balik berakhir dengan agregat 3-3, keputusan berpihak kepada skuad kendalian Mohamad Ramlee yang memiliki kelebihan jaringan gol di pihak lawan.

Kedah sebelum ini tewas 2-3 kepada SSMP B-17 selaku juara bertahan dalam aksi awal saingan akhir Piala Belia di Shah Alam pada Rabu lalu.

Pastinya, Kapten Kedah, Muhammad Asnawi Sonkurnain muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan, sekali gus memberi kelebihan kepada skuad untuk muncul juara.

Gol pada minit ke-55 perlawanan itu terhasil selepas tandukan Muhammad Asnawi dalam kotak penalti hasil hantaran Mohd Khairuddin Mohd Salleh, gagal diselamatkan penjaga gol SSMP B-17, Aidil Mirza Darwisy Mazhisam.

Gol awal selepas 10 minit bermula separuh masa kedua itu ibarat tonik buat Kedah apabila serangan demi serangan diatur barisan hadapan.

Gerakan lincah penyerang muda kelahiran Matang Kong, Muhammad Akhyar Abdul Rashid berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan SSMP B-17.

Lawan dari Pahang itu turut mencipta beberapa peluang khususnya melalui tonggak hadapannya, Muhammad Alif Safwan Sallahuddin dan Alif Haiqal Lokman Hakim Lau.

Bagaimanapun, gerakan mereka sering dibayangi barisan benteng Kedah diketuai Muhammad Asnawi.

Terdahulu pada separuh masa pertama, Kedah yang turun dengan ketinggalan satu gol mengatur serangan agresif bagi mencari gol awal.

Serangan bertali arus memukau lebih 2,200 penyokong di Stadium Darul Aman sehingga berakhir separuh masa pertama dengan kedua-dua pasukan buntu mencipta gol.

Suasana meriah menyelubungi Stadium Darul Aman sejurus wisel penamat ditiup pengadil Muhammad Shahrul Amin Abd Aziz, disusuli lagu keramat Lang Merah, Biar Jasa Jadi Kenangan.

Trofi juara disampaikan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Aminuddin Omar kepada Muhammad Asnawi.

Berita Harian X