Selasa, 10 Oktober 2017 | 6:38pm
PEMAIN Kedah Muhammad Akhyar Abdul Rashid (tengah) bakal direhatkan pada aksi final Piala Belia 2017 menentang Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) di Stadium UiTM, Shah Alam esok. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Helang Merah simpan Akhyar

PETALING JAYA: Tanpa kehadiran penyerang muda sensasi Akhyar Rashid dianggap bukan masalah buat Kedah yang memburu kejuaraan Piala Belia 2017 apabila membuat perhitungan dengan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) pada aksi pertama final di Stadium UiTM, Shah Alam esok.

Akhyar, 18, yang mencipta nama dengan skuad bawah 22 tahun negara (B-22) dan skuad B-19 masih layak untuk beraksi dengan skuad Piala Belia Kedah namun jurulatih Mohamad Ramlee mengakui tidak terdesak untuk memanggil pemain lincah itu.

"Akhyar boleh bermain dalam pasukan ini tapi dia sudah bermain banyak perlawanan sebelum ini jadi kami bagi dia rehat. Mungkin perlawanan kedua di Alor Setar nanti kami akan turunkan dia kerana dari segi taktikal dia mampu untuk bersama pasukan ini.

"Saya tak anggap Kedah sebagai pasukan bukan pilihan, pada peringkat awal, kami kalah di Gambang 1-2 dan kemudian menang di Alor Setar 2-0. Jadi bagi saya peluang kedua-dua pasukan sama rata," katanya pada sidang media praperlawanan hari ini.

Kedah mara ke final selepas mengatasi Terengganu menerusi peraturan gol di tempat lawan apabila terikat 3-3 pada separuh akhir.

Lawan mereka SSMP, pasukan yang menurunkan pemain lebih muda berusia 17 tahun namun cukup bertenaga apabila membelasah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dengan agregat 7-0 pada separuh akhir.

Bagi jurulatih SSMP P Somasundram, beliau percaya anak buahnya sudah cukup bersedia untuk berdepan Kedah dalam misi mencari bekalan selesa sebelum bertandang ke Alor Setar bagi perlawanan kedua pada 16 Oktober ini.

"Tiada masalah siapa pemain yang akan diturunkan pasukan lawan kerana kekuatan kami adalah kerjasama. Kami tak boleh benarkan mereka menjaringkan gol dan kami akan bermain secara menyerang. Walaupun mereka ini berusia 17 tahun, tapi saya percaya mereka sudah matang," katanya.

Berita Harian X