Jumaat, 29 September 2017 | 1:19am
PENGURUS Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino (kiri) percaya penyerangnya, Harry Kane tidak sepatutnya dibandingkan dengan penyerang Real Madrid , Cristiano Ronaldo dan bintang Barcelona, Lionel Messi kerana dia adalah pemain yang terlalu berbeza. - Foto AFP
PENGURUS Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino (kiri) percaya penyerangnya, Harry Kane tidak sepatutnya dibandingkan dengan penyerang Real Madrid , Cristiano Ronaldo dan bintang Barcelona, Lionel Messi kerana dia adalah pemain yang terlalu berbeza. - Foto AFP

Kane boleh meningkat lagi - Pochettino

LONDON: Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane adalah salah seorang pemain terbaik dunia ketika ini namun bintang England itu masih boleh meningkat, kata pengurus Mauricio Pochettino.

Selepas kemarau jaringan pada Ogos, Kane meledak sembilan gol dalam lima perlawanan pada September termasuk dalam dua kunjungan Spurs ke laman lawan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan aksi pembukaan Liga Juara-Juara menentang Borussia Dortmund.

Kane merekod hatrik pertamanya dalam Liga Juara-Juara ketika kemenangan 3-0 ke atas APOEL Nicosia, semalam dan ketajamannya meraih pujian menggunung daripada Pochettino yang percaya peledak England itu mampu meningkatkan permainannya.

"Dia adalah seorang penyerang terbaik di dunia dan kerana dia masih lagi muda, dia boleh meningkat," kata Pochettino menjelang kunjungan Spurs ke Huddersfield dalam saingan EPL, esok.

"Potensi yang dimilikinya, sikap profesional, dia mempunyai banyak ruang untuk meningkat."

Pochettino begitupun berkata Kane tidak sepatutnya dibandingkan dengan penyerang Real Madrid , Cristiano Ronaldo dan bintang Barcelona, Lionel Messi kerana dia adalah pemain yang terlalu berbeza.

"Saya tidak berkata dia lebih bagus daripada Cristiano dan Lionel Messi yang berada di tahap yang berbeza. Mereka adalah yang terbaik dan sudah menunjukkannya sejak lima ke 10 tahun lepas.

"Kami tidak boleh meletakkan begitu banyak tekanan kepada Harry kerana dia masih muda... Harry adalah penyerang, pembunuh.

"Mereka juga adalah pembunuh tetapi bermain di posisi yang berbeza dan mempunyai gaya yang berbeza. Ia tidak membantu Harry jika kami mula membandingkannya dengan pemain-pemain ini."

Perancang Tottenham, Christian Eriksen yang terlepas aksi menentang APOEL berikutan tidak sihat dijangka akan kembali beraksi manakala pertahanan, Serge Aurier akan terlepas susulan penggantungan.

Bintang tengah, Mousa Dembele, Victor Wanyama, Erik Lamela dan Danny Rose juga tidak dapat diturunkan susulan kecederaan. - Reuters

Berita Harian X