Jumaat, 22 September 2017 | 7:49pm
PEMAIN skuad bawah 16 tahun negara (B-16) meraikan gol ketika bertemu Guam pada aksi kedua Kelayakan Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Stadium Wibawa Mukti, Bekasi, Indonesia, sebentar tadi. - Foto Facebook/FAM
PEMAIN skuad bawah 16 tahun negara (B-16) meraikan gol ketika bertemu Guam pada aksi kedua Kelayakan Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Stadium Wibawa Mukti, Bekasi, Indonesia, sebentar tadi. - Foto Facebook/FAM

Malaysia mudah benam Guam

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 16 tahun negara (B-16) tidak berdepan masalah untuk menjadikan Guam sebagai 'lauk' apabila membelasah pasukan kerdil itu, 14-1 pada aksi kedua Kelayakan Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018, di Indonesia, sebentar tadi.

Meskipun sudah layak ke saingan yang akan berlangsung atas tiket tuan rumah, namun skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu tetap tampil dengan persembahan penuh berselera untuk mendahului skuad bimbingan Dominic Tacadina itu, 5-0 di babak pertama.

Dengan kejayaan membenam Singapura 6-1 pada aksi pembukaan Kumpulan J dan juga Guam, sudah pasti pengendalinya, Lim Teong Kim menuntut prestasi sama apabila dijadual bertemu jaguh Asia, Jepun pada aksi terakhir peringkat kumpulan, Ahad ini.

Seperti dijangka, pada aksi di Stadium Wibawa Mukti, Bekasi, Indonesia, Malaysia mudah memperoleh gol pertama menerusi Ikhwan Hafizo pada minit ke-11, sebelum Aiman Haikhal Azman menyempurnakan penalti tiga minit berselang untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Pengalaman 'mengasah taring' bersama kelab Eropah sebelum ini nyata dimanfaatkan sepenuhnya apabila skuad negara terus menekan barisan pertahanan Guam.

Aleff Haedi Za Ba Ba meledak gol ketiga pada minit ke-23 sebelum sepakan penalti kedua disudahkan Faiz Khairi untuk gol keempat Malaysia pada minit ke-30.

Ketika Guam mengharapkan mereka hanya dibolosi empat gol pada separuh masa pertama, muncul Alif Abdul Mutalib yang menjaringkan gol kelima pada hujung babak pertama untuk Malaysia terus selesa mendahului 5-0 menuju ke masa rehat.

Mimpi ngeri Guam bersambung pada babak kedua apabila Harith Naem Jaineh menjaringkan gol keenam pada minit ke-47 dan Aiman mencetak gol kedua peribadinya dua minit berselang, sebelum gol kelapan disumbangkan Alif pada minit ke-51.

Tidak cukup dengan lapan gol, Danish Ishak menambah derita Guam apabila meledak dua gol pada minit ke-58 dan minit ke-81, disusuli Danial Amali (m-67 dan m-77) dan Umar Hakeem Suhar Rezwan (m-72).

Namun Guam beroleh gol saguhati pada minit ke-84, menerusi Kyle Ko Halehale sebelum Aiman muncul penjaring terbanyak negara pada aksi itu apabila melengkapkan hatrik pada minit ke-89 untuk keputusan 14-1 buat Malaysia.

Berita Harian X