JOHOR BHARU: Kemenangan 3-1 Johor Darul Ta'zim (JDT) ke atas Selangor pada aksi terakhir Kumpulan D saingan Piala Malaysia yang meletakkan mereka sebagai juara kumpulan, masih belum mencukupi buat pengendalinya Ulisses Morais yang mengharapkan persembahan lebih baik anak buahnya.
Menurut Morais, aksi pada babak pertama boleh dianggap konsisten apabila JDT menguasai permainan namun selepas rehat, pemain-pemain seolah-olah hilang rentak dan kerap kehilangan bola.
Katanya, dalam tempoh 10 minit pertama, JDT memiliki peluang mencipta jaringan dan mampu berada di depan dengan kedudukan 2-0 tetapi ketumpulan barisan penyerang menjadi penghalang.
"Walaupun kita menjaringkan gol, Selangor mampu mendapatkan gol penyamaan dan saya lihat pemain agak tertekan. Namun saya arahkan supaya mereka lebih tenang dan tidak mudah panik dan hasilnya gol kedua berjaya dijaringkan," kata Morais.
"Saya berpuas hati dengan aksi di babak pertama selepas pemain mengikut perancangan awal untuk mengawal permainan dan pantas menutup ruang supaya barisan pemain Selangor tidak menguasai bola.
"Bagaimanapun, di babak kedua, kami cuba mengulangi apa yang dilakukan pada babak pertama tetapi tidak berjaya kerana faktor kepenatan menjejaskan rentak permainan. Saya tidak nafikan rehat yang panjang nyata menyukarkan pemain untuk berada di tahap permainan memuaskan."
Ditanya mengenai persembahan Gary Steven Robbat yang diturunkan sepanjang perlawanan, Morais enggan terlalu memberi tumpuan kepada seseorang pemain saja sebaliknya menegaskan kesemua sebelas pemain yang beraksi memainkan peranan penting untuk melakar kemenangan.
Bagaimanapun Gary yang tujuh bulan tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif menunjukkan sikap positif dan kerap bekerja keras di dalam padang untuk mengekang penguasaan posisi tengah pasukan lawan.
"Dia memiliki kualiti tersendiri dan sikap ingin mencabar diri sendiri menyaksikan pemain itu selesa beraksi di posisi tengah dan saya mahu ia berterusan kerana ia penting dalam skuad JDT.
"Kami ada seminggu lagi membuat persiapan sebelum bertandang ke Melaka untuk berdepan pasukan Melaka United yang saya anggap sukar dan tumpuan latihan terarah kepada kekuatan fizikal," katanya.