Ahad, 10 September 2017 | 11:25am
MOHAMAD Ghaddar (tengah) diasak dua pemain Selangor, Saiful Ridzuwan Selamat (kiri) dan Ugochukwu Ukah pada aksi TM Piala Malaysia 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim
MOHAMAD Ghaddar (tengah) diasak dua pemain Selangor, Saiful Ridzuwan Selamat (kiri) dan Ugochukwu Ukah pada aksi TM Piala Malaysia 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim

Maniam risau benteng rapuh

JOHOR BAHRU: Pengendali Selangor, P Maniam tampak cuba menyembunyikan perasaan kecewa selepas tewas 1-3 berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi terakhir Kumpulan D, Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam tadi.

Katanya, walaupun dalam tempoh 16 minit babak pertama JDT berjaya menjaringkan gol pembukaan namun Selangor mampu bangkit untuk mendapatkan gol penyamaan, tetapi ia tidak mencukupi.

"Selepas JDT menjaringkan gol kedua dan tempoh yang begitu singkat, pemain saya bagaikan patah semangat, walaupun cuba beri tentangan tetapi masih belum cukup untuk menewaskan pasukan itu.

"Gol kedua itu juga membunuh rentak perlawanan kami. Jika gawang kami tidak bolos, mungkin ada peluang untuk beraksi dengan konsisten dan cuba memburu kemenangan namun kelebihan JDT yang beraksi di laman sendiri jelas menyukarkan kami untuk melakar kejutan.

"Malah saya tidak menafikan betapa hampir 60 hingga 70 peratus perlawanan dikuasai JDT dan saya akui banyak kerja lagi perlu dibuat untuk mengukuhkan benteng pertahanan sebelum pertembungan menentang Kedah pada suku akhir nanti," katanya.

PEMAIN tengah JDT, Gary Steven Robbat (dua dari kiri) menanduk masuk ke gawang Selangor pada aksi TM Piala Malaysia 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim
PEMAIN tengah JDT, Gary Steven Robbat (dua dari kiri) menanduk masuk ke gawang Selangor pada aksi TM Piala Malaysia 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim

Maniam menegaskan bukan saja benteng pertahanan harus diperkemaskan malah perancangan daripada aspek `set-piece' juga perlu dipertingkatkan lagi dan dia optimis penyerang, Forkey Doe yang tampak kurang menjadi pada perlawanan itu akan bangkit pada aksi suku akhir nanti.

Ditanya mengenai pertembungan dengan Kedah, Maniam mengakui ia perlawanan yang agak sukar buat Selangor dan akan menggunakan sepenuhnya tempoh seminggu bagi membuat persiapan rapi.

"Apa yang perlu dilakukan dalam latihan sebelum menentang Kedah sudah pasti mengelak daripada gawang terus dibolosi dan juga memastikan kita mencipta peluang menjaringkan gol.

"Kami akan beraksi di laman sendiri dan tugas saya untuk mengembalikan keyakinan pemain untuk bersedia berdepan perlawanan yang sukar dan ia bukanlah masalah besar kerana pemain Selangor berpengalaman untuk berdepan situasi getir," kata Maniam.

Berita Harian X