Sabtu, 9 September 2017 | 8:12pm
BEKAS pemain JDT, Luciano Figueroa dilantik sebagai Pengarah Sukan bagi menggantikan Alistair Edwards. - Foto Osman Adnan
BEKAS pemain JDT, Luciano Figueroa dilantik sebagai Pengarah Sukan bagi menggantikan Alistair Edwards. - Foto Osman Adnan

Figueroa ganti tugas Edwards di JDT

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super musim ini Johor Darul Ta'zim (JDT) membuat kejutan dengan melantik bekas penyerang import, Luciano Figueroa bagi menggantikan Alistair Edwards sebagai Pengarah Sukan.

Figueroa yang menjuarai Liga Super dua kali bersama kelab Harimau Selatan itu mengambil alih tugas Edwards berkuat kuasa serta merta, kata satu kenyataan rasmi di laman Facebook Johor Southern Tigers, hari ini.

"Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) ingin mengucapkan terima kasih kepada Alistair Edwards atas sumbangan beliau selama berkhidmat di Johor DT sebagai Pengarah Sukan.

"Ucapan selamat maju jaya buat beliau untuk perjalanan karier di masa hadapan. Kelab Bolasepak Johor DT juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan bahawa Luciano Figueroa akan mengambil alih tugas sebagai Pengarah Sukan yang baru," jelas kenyataan itu.

Bagaimanapun kelab itu menafikan pemain import legenda Johor itu bakal memegang jawatan penting bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas kontraknya tidak disambung JDT.

"Kenyataan mengenai Alistair Edwards akan ke FAM tidak benar sama sekali. Beliau telah tamat kontrak bersama JDT dan pihak pengurusan JDT melantik Luciano Figueroa sebagai pengganti kerana Luciano lebih sesuai dengan agenda baharu JDT," tambah kenyataan itu lagi.

Edwards yang menjulang kejuaraan liga dan Piala Malaysia bersama Johor sebagai pemain pada 1991 melepaskan tugas bersama JDT selepas bersama kelab itu sejak Januari 2016.

Dalam perkembangan lain, pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bakal menerima kunjungan delegasi kelab juara Liga Perdana Inggeris, Chelsea tidak lama lagi.

Kedatangan wakil kelab yang berpangkalan di London itu adalah bagi membincangkan idea dan hubungan kerjasama antara kedua-dua buah kelab, membabitkan pembangunan akar umbi dan berkolaborasi bagi projek berkaitan bola sepak pada masa akan datang.

Berita Harian X