Rabu, 6 September 2017 | 12:04pm
PEMAIN Argentina, Mauro Icardi (dua dari kanan) diasak pemain Venezuela, Jhon Chancellor pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 di Buenos Aires. - Foto AFP
PEMAIN Argentina, Mauro Icardi (dua dari kanan) diasak pemain Venezuela, Jhon Chancellor pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 di Buenos Aires. - Foto AFP

Impian Argentina, Chile ke Russia kabur

MONTEVIDEO: Harapan Argentina dan Chile untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Russia tahun depan ibarat telur di hujung tanduk apabila kedua-dua gergasi bola sepak Amerika Selatan itu tercicir mata lagi.

Argentina diselamatkan oleh gol babak kedua ketika meraih keputusan 1-1 menentang Venezuela yang sudah tidak berpeluang layak, manakala Chile tewas 1-0 di tangan Bolivia.

Keputusan itu meletakkan naib juara Piala Dunia 2015, Argentina dan juara bertahan Copa America, Chile di luar kelompok kelayakan automatik sebelum dua perlawanan terakhir bulan depan.

Pengendali Argentina Jorge Sampaoli mengakui anak buahnya mensia-siakan peluang terbaik untuk menyertai kelompok empat teratas, terutama ketumpulan barisan serangan di babak pertama ketika menentang Venezuela.

Argentina kini di tangga kelima dengan 24 mata daripada 16 perlawanan dan Chile keenam dengan 23 mata.

Sekiranya kekal di tangga kelima, Argentina yang berdepan Peru dan Ecuador bulan depan, akan mengharungi aksi playoff menentang juara Oceania New Zealand.

Chile pula akan bertemu Ecuador dan Brazil, yang sudah layak ke Russia, untuk dua perlawanan terakhir.

Brazil yang mengesahkan kedudukan di tangga teratas, menambah kutipan mata apabila seri 1-1 menentang Colombia. - AFP

Berita Harian X