Selasa, 29 Ogos 2017 | 5:29pm
SEBAHAGIAN penyokong yang telah berjaya membeli tiket final aksi bola sepak Sukan SEA KL2017 di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan
SEBAHAGIAN penyokong yang telah berjaya membeli tiket final aksi bola sepak Sukan SEA KL2017 di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan

KL2017: Kepincangan penjualan tiket final bukan salah FAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan mereka bertanggungjawab atas kepincangan urusan penjualan tiket final bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sehingga mencetuskan kekecohan di Stadium Shah Alam, semalam.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya hanya membantu dari aspek teknikal perlawanan sahaja bagi acara bola sepak dan futsal di temasya dwi tahunan ini.

"Saya ingin menjelaskan di sini bahawa semua urusan penjualan tiket bagi acara bola sepak dan futsal sepanjang temasya Sukan SEA 2017 ini termasuk bagi perlawanan akhir bola sepak lelaki malam ini adalah di bawah kelolaan Sekretariat Kuala Lumpur 2017 (MASOC) dan Kementerian Belia & Sukan (KBS) sepenuhnya, bukannya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahupun Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

SEKITAR suasana di perkarangan Stadium Shah Alam ketika orang ramai beratur untuk membeli tiket final bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 antara Malaysia dengan Thailand esok (29 Ogos). - Foto Osman Adnan

TIKET yang dikatakan habis dijual pada saat akhir kepada penyokong Malaysia melaui pagar stadium Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir bola sepak lelaki Sukan Sea KL2017antara Malaysia lawan Indonesia. - Foto Owee Ah Chun

"Sebagai mewakili FAM, saya berasa kesal kerana terdapat segelintir pihak yang tetap mahu menyalahkan FAM apabila berlaku kekecohan dalam hal penjualan tiket perlawanan akhir ini, sedangkan pihak kami hanya berperanan dalam urusan berkaitan teknikal perlawanan bagi acara bola sepak dan futsal sepanjang KL2017," katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasmi FAM hari ini.

Puluhan ribu penyokong tempatan sanggup beratur sepanjang lima kilometer seawal jam 6 pagi semata-mata ingin membeli tiket bagi menyaksikan final Malaysia dengan Thailand malam ini yang dijual di kaunter tiket di Stadium Shah Alam semalam.

Bagaimanapun, kekecohan berlaku apabila ada segelintir penyokong yang merempuh dan memanjat kaunter tiket apabila penjualan tiket dihentikan jam 1 tengah hari.

Malah tindakan pihak penganjur yang tidak menjual tiket menerusi dalam talian juga menjadi punca rasa tidak puas hati ramai pihak.

Berita Harian X