Selasa, 29 Ogos 2017 | 9:49am
PENYERANG Montenegro, Stevan Jovetic.
PENYERANG Montenegro, Stevan Jovetic.

Monaco ikat Jovetic ganti Mbappe

MONACO: Monaco menandatangani penyerang Montenegro, Stevan Jovetic dan kini bersedia untuk memuktamadkan perpindahan pemain tengah Belgium, Leander Dendoncker dari kelab Anderlecht.

Menurut sumber yang memberitahu AFP, kapten Montenegro, Jovetic, yang dipinjamkan ke Sevilla pada musim lalu dari Inter Milan, dilihat sudah bersedia menyarung jersi nombor 10 yang dipakai Kylian Mbappe.

Mbappe dijangka melengkapkan perpindahan ke Paris Saint-Germain, secara pinjaman, sebelum pasaran pemindahan pemain melabuhkan tirainya, Khamis ini.

Monaco masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai Jovetic, pemain yang pernah beraksi bersama Fiorentina dan Manchester City.

Sumber rapat itu juga mendedahkan Dendoncker, 22, akan menyertai kelab dari Anderlecht, seterusnya mengekori jejak langkah rakan senegaranya, Youri Tielemans yang mula bersama pasukan pada awal musim panas.

Ejen Dendoncker, yang juga mewakili Tielemans, bertemu wakil Monaco dan Anderlecht di sebuah hotel di ibu kota itu Khamis lalu, pada hari undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Laporan awal menjangkakan yang Monaco bersedia untuk membayar 21 juta euro (RM107 juta), tidak termasuk bonus untuk perjanjian Dendoncker.

Namun, pembayaran itu mungkin lebih rendah sekiranya Soualiho Meite ke kelab lain.

Pemain tengah, Meite, dibeli Monaco pada awal musim ini dari kelab Belgium, Zulte Waregem dengan nilai 8 juta euro (RM40 juta). - AFP

Berita Harian X