Selasa, 15 Ogos 2017 | 8:04pm
JURULATIH bola jaring negara Tracey Robinson. - Foto Rohanis Shukri
JURULATIH bola jaring negara Tracey Robinson. - Foto Rohanis Shukri

'Panas badan' sebelum berdepan Singapura

KUALA LUMPUR: Biarpun ia adalah perlawanan peringkat kelayakan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) untuk menentukan kedudukan ke separuh akhir, jurulatih bola jaring negara Tracey Robinson tetap mahu anak buahnya memberikan aksi terbaik, seterusnya memenangi perlawanan menentang Singapura, esok.

Tegasnya setiap perlawanan adalah penting untuk memberi motivasi kepada pemain, dalam usaha mereka merampas kembali emas yang diraih Singapura, dua tahun lalu.

Terdahulu skuad bola jaring negara beraksi cemerlang apabila melakarkan kemenangan kedua dengan membenam Brunei, 64 berbalas 27, petang tadi.

Norashikin Kamal Zaman yang beraksi di posisi GS (goal shooter) bijak menggunakan ketinggian yang dimiliki untuk menguasai kawasan D.

"Saya jadikan perlawanan hari ini untuk mengawal rasa gugup apabila turun bertemu Singapura esok. Ketinggian saya nyata memberi kelebihan untuk mengawal bola di depan jaring, bagaimanapun cabaran sebenar akan bermula apabila kita bertemu Singapura nanti," katanya.

PEMAIN Brunei, Siti Nurul Nazihah Awang Hassan (tengah) cuba merampas bola daripada pemain Malaysia pada aksi kelayakan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) di Stadium Juara Bukit Kiara, sebentar tadi. - Foto Syarafiq Abd Samad
PEMAIN Brunei, Siti Nurul Nazihah Awang Hassan (tengah) cuba merampas bola daripada pemain Malaysia pada aksi kelayakan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) di Stadium Juara Bukit Kiara, sebentar tadi. - Foto Syarafiq Abd Samad

Mengulas strategi berdepan musuh tradisi negara itu, Norashikin berkata, dia yakin dengan percaturan jurulatih, seterusnya melakarkan rekod bersih tanpa kalah.

Pada perlawanan kedua menentang Brunei di Stadium Juara Bukit Kiara itu menyaksikan Malaysia mudah menguasai suku pertama apabila mendahului dengan jaringan 18 berbalas 9.

Rentak permainan skuad negara terus konsisten pada suku kedua apabila melebarkan penguasaan untuk mendahului perlawanan 13 mata.

Memasuki babak ketiga, ketinggian yang dimiliki barisan pertahanan iaitu Siti Fatimah Mustafa yang beraksi di posisi GK (goal keeper) dan Noramirah Dayan Noor Azhar GD (goal defend) nyata memberi kelebihan untuk mengawal kubu negara dan menguasai perlawanan 47-21, seterusnya menamatkan perlawanan dengan kelebihan 37 mata.

Satu keputusan yang mungkin boleh mengukur sejauh mana kelebihan skuad negara ialah keputusan perlawanan Singapura yang turut membelasah Brunei 62-37.

Pasukan bola jaring negara akan turun pada perlawanan ketiga peringkat kelayakan menentang Singapura pada jam 5.15 petang esok.

Sementara itu pada satu lagi perlawanan yang berlangsung hari ini, Thailand membelasah Filipina 86-16.

Berita Harian X