Jumaat, 4 Ogos 2017 | 6:43am
Neymar

Neymar lengkap perpindahan rekod dunia RM1.128b

PARIS: Perpindahan rekod dunia Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG) selesai awal pagi tadi apabila kelab Perancis itu mengesahkan bintang Brazil itu menandatangani perjanjian lima tahun dengan anggaran pendapatan 30 juta Euro (RM152.50 juta) setahun.

Perjanjian itu ditandatangani beberapa jam selepas pemain berusia 25 tahun itu membayar klausa pembelian bernilai 222 juta Euro (RM1.128 bilion) kepada Barcelona.

"Saya sangat gembira menyertai Paris Saint-Germain," kata Neymar.

"Sejak saya tiba di Eropah, kelab itu sentiasa menjadi salah satu kelab paling kompetitif dan bercita-cita tinggi. Cabaran besar yang dihadapi memberikan saya motivasi untuk menyertai rakan sepasukan baharu dan membantu untuk merangkul gelaran yang peminat mahukan.

"Cita-cita Paris Saint-Germain menarik perhatian saya kepada kelab ini, bersama dengan semangat dan tenaga yang dibawa. Saya bermain empat musim di Eropah dan saya rasa sudah bersedia menghadapi cabaran ini.

"Bermula hari ini saya akan melakukan segala-galanya yang saya mampu untuk membantu rakan sepasukan saya, membuka cakerawala baru untuk kelab saya dan membawa kegembiraan kepada berjuta penyokong di serata dunia," katanya.

Rekod perpindahan termahal sebelum ini ialah Paul Pogba iaitu 105 juta Euro apabila menyertai Manchester United dari Juventus, tahun lalu.

PSG memaklumkan bahawa Neyamar akan mengadakan sidang akhbar di Parc des Princes pada hari ini.

Dia kemudian akan dipersembahkan kepada peminat di tempat sama esok sebelum musim pembukaan Ligue 1 menentang Amiens. - AFP

Berita Harian X