Khamis, 27 Julai 2017 | 7:49pm
ZOLKPLES (tiga dari kiri) pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Amirudin Sahib
ZOLKPLES (tiga dari kiri) pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Amirudin Sahib

KL 2017: Bola sepak guna 4 stadium

KUALA LUMPUR: Empat stadium sah digunakan bagi perlawanan bola sepak pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur bagi menjamin mutu padang terbaik jika berlaku perubahan cuaca.

"Saya sudah dapat jadual bola sepak semalam dan saya dapat pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih menggunakan empat stadium.

"Kita tak nak ambil risiko sebab jika musim hujan, kita takut ia akan rosakkan padang stadium jika digunakan terlalu kerap," kata Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pentadbir Sukan Para ASEAN (APSF) di sini, hari ini.

Zolkples berkata, berbeza dengan penganjuran temasya lalu oleh Singapura, tuan rumah boleh menggunakan dua stadium saja memandangkan negara itu menggunakan padang tiruan.

Jelasnya Stadium Universiti Malaya dan Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan digunakan sebagai venue pertandingan kepada tujuh perlawanan sementara pasukan utama akan menggunakan Stadium Selayang dan juga Stadium Shah Alam.

Dalam perkembangan lain Zolkples turut menjelaskan penjualan tiket bagi Sukan SEA 2017 sangat menggalakkan dan memperoleh jumlah jualan tiket sebanyak RM15,000 bagi acara futsal saja.

"Sebelum ini futsal ada empat perlawanan dalam satu hari dan kita jual satu tiket saja sementara sekarang kita adakan empat tiket untuk empat perlawanan itu. Jadi kita ada masa lebih sejam untuk kosongkan dewan untuk perlawanan seterusnya. Ini tak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Katanya, masalah kini adalah mencari jalan untuk menambah tempat duduk bagi beberapa jenis sukan seperti bola keranjang, silat, bola jaring dan lain-lain yang mendapat sambutan hangat hingga sudah habis dijual.

Mengenai persiapan venue, Zolkples berkata semua venue sudah boleh diguna pakai atlet negara untuk latihan namun Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan juga Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) masih belum boleh digunakan atlet kerana kerja-kerja mengisi alatan dan tempat duduk sedang giat dilakukan.

"Kita harap dalam masa terdekat (boleh disiapkan) supaya venue dapat digunakan untuk berlatih kerana Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar minta disiapkan sebelum 1 Ogos dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri akan melawat 8 Ogos ini.

"Harap siap dalam beberapa hari ini dan kena siapkan siang dan malam bagi atlet kita dapat berlatih lebih kurang dua minggu (sebelum bermulanya temasya)," katanya.

Terdahulu, Zolkples berkata mesyuarat pra pendaftaran delegasi Sukan Para ASEAN bakal diadakan esok bagi memutuskan bilangan sebenar acara yang akan dipertandingkan berdasarkan jumlah penyertaan negara.

Buat masa ini, 479 acara daripada 16 sukan disenaraikan pada temasya yang akan berlangsung pada 17-23 September ini.

Berita Harian X