Sabtu, 2 Mei 2020 | 4:14pm
Rakyat perlu mematuhi arahan kerajaan dalam memerangi wabak COVID-19. - NSTP/Aswadi Alias
Rakyat perlu mematuhi arahan kerajaan dalam memerangi wabak COVID-19. - NSTP/Aswadi Alias

Bersama bantu kerajaan perangi wabak

DALAM menghadapi krisis COVID-19 ketika ini, rakyat Malaysia pastinya antara beruntung jika dibandingkan dengan warganegara lain.

Kita beruntung kerana 'perang' melawan musuh tidak kelihatan ini dihadapi dengan tenang tanpa panik keterlaluan. Namun, faktor paling penting adalah kerana kita diketuai 'jeneral' penuh berpengalaman.

Ada pemimpin dunia mencadangkan pelbagai kaedah rawatan dan perubatan COVID-19 yang tidak masuk akal seperti menyuntik pembasmi kuman dalam produk pembersihan ke dalam tubuh pesakit.

Di negara maju yang lain, ada 'jeneral' rebah diserang virus sehingga terpaksa diberikan rawatan rapi selama beberapa hari.

Dari United Kingdom (UK), Itali, Sepanyol dan Perancis hingga ke seberang Lautan Atlantik, Amerika Syarikat (AS), pemimpinnya berdepan kesulitan dalam memerangi COVID-19 kerana mengambil mudah ancamannya.

Semuanya berstatus negara maju dengan kemudahan penjagaan kesihatan terkini, namun kes jangkitan COVID-19 di negara masing-masing mencecah jutaan dan kematian pula sudah puluhan ribu orang.

Bagi Malaysia, semua harus bersyukur kerana krisis COVID-19 di negara kita yang sudah masuk bulan kedua, masih dalam keadaan terkawal

Di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai 'jeneral', perang menentang virus berbahaya ini semakin hampir dimenangi dengan adanya panglima berdedikasi dan anggota barisan hadapan yang tidak kenal erti penat berjuang saban hari.

Perdana Menteri layak dipuji kerana kewibawaan beliau memimpin negara mengharungi krisis berganda, krisis kesihatan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini serta kemelut ekonomi yang menjejaskan banyak sektor serta periuk nasi rakyat.

Kemunculannya sama ada di platform media sosial seperti Facebook atau televisyen untuk menyampaikan pesanan serta amanat, menjadi sesuatu yang amat dinanti-dinanti.

Penampilan Perdana Menteri ketika krisis COVID-19 ini begitu kuat sekali auranya, pesanan, nasihat dan amanat disampaikan dalam cara penuh santai sambil diselitkan pengisian yang begitu dekat di hati rakyat.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bukti beliau mendengar rintihan akar umbi dan sepanjang krisis COVID-19, diadakan sidang media setiap hari.

Dari bilik gerakan di Putrajaya, 'panglima' perangnya memberi penjelasan perkembangan COVID-19, sekali gus menjawab persoalan serta mengikis kebimbangan dalam hati rakyat.

Ayuh semua, kita sama-sama membantu 'jeneral, panglima dan tentera' kita untuk memenangi 'peperangan' ini.

Andai ada perbezaan politik, ketepikan dahulu buat sementara waktu, berilah sokongan kepada pemimpin.

Halim Yahya Rahman,
Kota Samarahan, Sarawak

Berita Harian X