Jumaat, 10 April 2020 | 2:36pm
Laporan BH mengenai keputusan Kabinet membatalkan operasi kilang minuman keras sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Laporan BH mengenai keputusan Kabinet membatalkan operasi kilang minuman keras sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Larang operasi kilang arak bukti kerajaan konsisten

Saya bukan penganut agama Islam, tetapi saya melihat isu larangan untuk dua kilang arak beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang heboh diperkatakan di pelbagai platform media baru-baru ini, tiada kena mengena dengan bangsa atau agama.

Saya fikir sebahagian daripada pandangan terhadap keputusan kerajaan menarik balik kelulusan untuk syarikat minuman keras beroperasi, khususnya dari rakan-rakan yang bukan beragama Islam adalah satu salah faham. Isu pokok dalam hal ini adalah dasar, bukan bangsa atau agama.

Pada saya, keputusan kerajaan itu adalah berteraskan soal pematuhan kepada PKP yang jelas memperuntukkan hanya pengeluaran barang-barang keperluan penting tidak terbabit dalam larangan berkenaan.

Adakah minuman keras itu barang keperluan? Jika dibenarkan kilang membuat minuman itu terus sepanjang tempoh PKP, bagaimana pula dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengeluakan karipap sejuk beku atau ais krim Malaysia di Tanjung Sepat, Selangor atau di Serkam, Melaka?

Dalam aspek pematuhan PKP, semua pihak harus memberi kerjasama dan kerajaan perlu membuat keputusan yang konsisten, menguatkuasakan peraturan dengan adil dan saksama.

Kita akui arahan dalam PKP sememangnya menjejaskan ramai orang dan banyak pihak, tetapi dalam masa-masa sukar seperti sekarang, semua pihak wajar memberikan kerjasama, bertolak ansur dan bersatu-padu dalam memerangi musuh yang tidak kelihatan.

Bukan sahaja kilang minuman keras, operasi kilang sarung tangan getah iaitu produk yang sangat diperlukan dan mendapat permintaan tinggi pada musim penularan wabak Covid-19, turut mendakwa terjejas kerana diarah mengecilkan operasi sepanjang PKP bagi mengekang penularan virus berkenaan.

Berdasarkan laporan-laporan berita sebelum ini, kilang pengeluaran pelbagai barangan lain berasaskan getah juga diarah menghentikan sementara operasi sepanjang PKP, termasuk juga pengeluaran kondom walaupun syarikat pengeluar menganggap ia juga antara barang keperluan yang penting.

Dalam krisis ketika ini, ayuh semua kita patuhi peraturan, ketepikan dahulu kepentingan sendiri, bersatu-padu memburu kemenangan dan peperangan ini.

Lucas Liu

Taman Kesidang, Melaka

Berita Harian X