Isnin, 23 March 2020 | 10:49pm
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (duduk tengah) bersama anggota Jemaah Menteri sebelum mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pada 11 Mac lalu. - FOTO BERNAMA
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (duduk tengah) bersama anggota Jemaah Menteri sebelum mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pada 11 Mac lalu. - FOTO BERNAMA

Hentikan 'gangguan politik', beri ruang PM mentadbir

Dalam senarai parti-parti politik utama yang ada di Malaysia ketika ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah antara yang paling muda.

Jika diibaratkan dalam sebuah keluarga, BERSATU adalah anak yang bongsu, anak paling kecil yang perlu belajar mengimbang badan dan pergerakan, bertatih sebelum dapat berjalan, berlari-lari anak sebelum mampu bergerak laju ke depan.

Ibarat anak kecil, BERSATU perlu meneroka daya imaginasi, mendengar dan melihat keadaan sekeliling sebelum mampu mengembangkan pemikiran dan bertutur dengan lancar.

Seperti kanak-kanak yang usianya baru mahu mencecah empat tahun yang memerlukan sokongan, galakan dan dorongan daripada ibu bapa serta ahli keluarga, BERSATU juga perlukan perkara yang sama.

Dalam usia BERSATU yang akan genap empat tahun pada September nanti, perkara paling akhir yang dimahukan adalah pertelingkahan dan perpecahan.

Tidak sampai dua tahun menjadi teras dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan di beberapa negeri dan Persekutuan, pastinya pemimpin dan ahli parti muda ini tidak mahu ia berakhir noktah kekecewaan.

Lalu, bagaimana mahu mengelakkan perkara itu daripada menjadi kenyataan? Ini pandangan saya sebagai ahli biasa Bersatu dari satu bahagian di Kelantan.

Selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kepemimpinan dalam BERSATU juga menerima kesan.

Kini, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti merangkap Perdana Menteri dan saya percaya, beliau akan melakukan yang terbaik demi kelangsungan BERSATU.

Bersandarkan pengalaman dalam kerajaan dan politik yang bukan setahun dua, Muhyiddin pasti sudah faham benar apa yang diperlukan dalam diri seorang pemimpin yang menerajui pemerintahan negara serta apa yang penting untuk mengekalkan perpaduan dalam parti diterajuinya.

Sudah tentu beliau mahukan parti yang bersatu dengan semua pemimpin dan ahlinya sehaluan, berada di atas landasan perjuangan yang sama.

Sehubungan itu, usah terkejut jika ada kedengaran tindakan pemecatan jawatan pemimpin tertentu daripada jawatan yang disandangnya dalam parti, malah usaha juga terkejut jika ada pemecatan keahlian sekalipun.

Tindakan-tindakan seperti itu adalah perkara lumrah dalam mana-mana parti politik di mana-mana negara pun. Ia bukannya sesuatu yang luar biasa.

Dalam kes BERSATU, saya tidak melihatnya sebagai misi Presiden untuk mengukuhkan cengkamannya dalam parti.

Lihat sahaja sejarah Muhyiddin dalam politik sejak zaman UMNO lagi, beliau disifatkan sebagai seorang yang penyabar dan tidak terlalu ghairah atau melampau-lampau dalam mengejar jawatan.

Saya melihat apa yang dilakukannya untuk BERSATU, parti yang beliau menjadi antara pengasas awalnya adalah bagi memastikan ia bergerak sehaluan, semua pemimpin dan ahli menjulang satu suara dan berada di atas landasan yang sama dalam perjuangan.

Tidak boleh ada gunting dalam lipatan, tidak boleh ada yang mendahulukan kepentingan peribadi melebihi kepentingan majoriti dalam parti, tidak boleh ada kepentingan sesiapa pun yang mengatasi kepentingan negara dan rakyatnya.

Itu hujah yang sama ketika Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998. Dalilnya adalah kerana Perdana Menteri keempat ketika itu tidak sehaluan dengan timbalannya yang juga Menteri Kewangan dalam isu ekonomi.

Anwar mahu mengguna pakai formula Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi menyelamatkan Malaysia, Dr Mahathir pula lebih yakin dengan kaedah kawalan modal yang ketika itu dilihat luar daripada kebiasaan. Akhirnya, pilihan Dr Mahathir yang jelas lebih berkesan.

Itu episod 22 tahun lalu ketika Perdana Menteri pada masa itu bertanggungjawab menyelamatkan Malaysia daripada krisis kewangan.

Sekarang, Perdana Menteri kelapan sedang berusaha menyelamatkan negara daripada ancaman wabak berbahaya.

Pada masa sama, beliau juga terpaksa melawan anasir-anasir yang merendah-rendahkan usaha kerajaan, menghasut rakyat mungkin dengan harapan tampuk kuasa di Putrajaya kembali bertukar tangan.

Dalam politik, perlu ada kesatuan, pemimpin dan ahli perlu bersatu hati. Semua harus jadi 'team player' kerana tanpanya, perjalanan parti pasti berdepan kesukaran.

Tidak perlu ada gangguan daripada unsur-unsur dalam parti yang diterajui Perdana Menteri sendiri ketika beliau dan kerajaan diterajuinya sepatutnya diberi ruang menangani isu yang lebih penting, isu membabitkan keselamatan rakyat dan kelemahan ekonomi.

Kembalilah merenung satu daripada 13 prinsip perjuangan BERSATU, berjanji memelihara kestabilan politik dan keselamatan negara demi kepentingan rakyat dan tanah air tercinta.

Salahuddin Mohd Sabri

Kubang Krian

Berita Harian X