Selasa, 11 Februari 2020 | 7:18am
Banyak produk makanan di beberapa pasar raya Singapura habis terjual, apabila pengguna berpusu-pusu mendapatkan stok barangan sebagai persediaan. - Foto Reuters
Banyak produk makanan di beberapa pasar raya Singapura habis terjual, apabila pengguna berpusu-pusu mendapatkan stok barangan sebagai persediaan. - Foto Reuters

Jangan biar berita palsu coronavirus cetus belian panik

LAPORAN berita mengenai pembelian panik oleh pengguna di negara jiran, Singapura susulan penularan coronavirus (2019-nCOV) agak membimbangkan.

Banyak produk makanan di beberapa pasar raya dikatakan habis terjual, apabila pengguna berpusu-pusu mendapatkan stok barangan sebagai persediaan. Rak paparan produk dikatakan banyak mulai kosong.

Bercakap soal pembelian panik, tindakan itu biasanya berlaku disebabkan adanya faktor pencetus. Dalam kes di Singapura, tindakan kerajaan negara itu yang meningkatkan tahap amaran penularan coronavirus menjadi punca. Rakyat bimbang jika berlaku sekatan, menyebabkan bekalan sukar diperoleh.

Saya harap keadaan begini tidak berlaku di tempat kita. Tahniah diucapkan kepada kerajaan Malaysia yang berkesan mengekang penularan coronavirus.

Cuma saya khuatir kerana ada lagi yang masih tidak sedar risiko panik dalam komuniti, apabila terus-menerus menyebarkan berita palsu mengenai penularan coronavirus khususnya melalui media sosial.

Bayangkan jika semua ini tidak dikawal dan melalui maklumat palsu yang tersebar itu juga, rakyat akan mula panik. Tidak mustahil bukan sahaja pembelian panik yang akan berlaku.

Kesan pembelian panik cukup besar kerana ia akan menyebabkan bekalan produk di pasaran berkurangan mendadak.

Kita tahu harga barangan di pasaran berkait rapat dengan permintaan dan bekalan. Jika permintaan meningkat mendadak sedangkan bekalan tidak mencukupi, risikonya akan menyebabkan harga barangan meningkat mendadak.

Jadi harapnya dalam keadaan seluruh dunia bimbang dengan penularan coronavirus, janganlah ada antara kita yang menambah kerisauan dengan tindak- tanduk yang tidak perlu seperti menyebar berita palsu.

Yakinlah bahawa kerajaan kita sedang melakukan yang terbaik dan dunia juga sedang melihat keberkesanan Malaysia dalam soal pengurusan bencana dan menangani ancaman penularan coronavirus.

Mat Amri Salleh, Kajang, Selangor

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X