Ahad, 26 Januari 2020 | 1:55pm
Kebun sayur haram dan tidak terkawal jejas kelestarian Cameron Highlands. - NSTP/Abdullah Yusof
Kebun sayur haram dan tidak terkawal jejas kelestarian Cameron Highlands. - NSTP/Abdullah Yusof

Kuat kuasa kebun haram demi Cameron Highlands

MERUJUK isu semasa berkaitan kerja penguatkuasaan ke atas kebun haram di Cameron Highlands menerusi Ops Lestari 2 yang dimulakan kembali, selepas 23 pekebun kecil menarik balik perintah injunksi mereka 30 September lalu.

Segelintir memberi ulasan negatif terhadap tindakan dilaksanakan menerusi agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri diketuai Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Hal ini sudah lama ditetapkan kerajaan negeri dan dibincang serta diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pada 9 Disember lalu.

Sudah ditetapkan bahawa, semua tanah pertanian yang diberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) sebelum ini, iaitu 78 hak milik yang berkeluasan kira-kira 5,519 hektar, diberi milik kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang, yang kemudian akan menyewa atau memajakkannya dalam tempoh ditetapkan, kepada pekebun.

Demi memastikan pekebun, penyewa dan pemajak benar-benar bertanggungjawab dalam mengerjakan tanah pertanian ini kelak, mereka hendaklah terlebih dahulu memperoleh sijil MyGAP (Malaysian Good Agricultural Practice) yang dikeluarkan Jabatan Pertanian.

Selain itu, Unit Kawal Selia MyGAP di bawah anak syarikat kerajaan negeri, Pahang Corporation Sdn Bhd, akan melaksanakan kerja mengawal selia aspek pematuhan kepada kriteria ditetapkan MyGAP.

Bagi menjamin pengurusan cerun lebih cekap, diputuskan bahawa semua ‘sheltered farming’ (rumah plastik) yang didirikan pekebun, perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH).

Penggunaan jentera berat pula perlu mendapat permit daripada sebuah jawatankuasa teknikal diwakili PDTCH, MDCH, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perhutanan dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dalam pada itu, Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands juga mengambil maklum beberapa lagi usaha dan tindakan diambil kerajaan negeri. Antaranya:

Kawasan Sungai Ichat dan sekitarnya berkeluasan 121.12 hektar diluluskan bagi maksud pewartaan sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat, dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 13 Mac tahun lalu.

Seluruh kawasan dalam daerah Cameron Highlands diluluskan bagi maksud pewartaan sebagai kawasan operasi MDCH dalam mesyuarat MMK pada 17 September lalu.

Pewartaan seluruh Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Gangan, HSK Batu Gangan Tambahan, HSK Hulu Ichat, dan HSK Sungai Terla B seluas kira-kira 2,289.62 hektar sebagai taman negeri.

Dengan semua keputusan ini sekali gus menjawab tohmahan kononnya tanah dikosongkan menerusi kerja penguatkuasaan, akan kerajaan negeri gunakan untuk maksud lain demi kononnya, keuntungan pihak tertentu.

Keputusan ini juga tentu dapat menjawab persoalan kononnya kerajaan negeri tidak memberi tanah alternatif kepada pekebun haram terbabit, sedangkan keputusan ini sebenarnya ‘alternatif’ lebih menyeluruh dan praktikal kepada seluruh isu tanah pertanian yang dihadapi di Cameron Highlands ketika ini.

Ini juga tentunya sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang berkenan mencemar duli meninjau kawasan kebun haram berkenaan pada 7 September lalu.

Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Pahang

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X