Jumaat, 4 Oktober 2019 | 10:34am

Bendung warga asing peralat wanita tempatan

Banyak kali sudah kita dengar mengenai taktik warga asing yang berkahwin dengan wanita tempatan, semata-mata untuk memudahkan mereka berniaga di negara ini.

Contoh paling mudah, kes lelaki warga Pakistan yang menjadikan wanita tempatan di Sabah sebagai ‘mangsa’ seperti didedahkan melalui BH.

Saya melihat kegiatan ini sebagai cukup licik. Apa tidaknya pihak berkuasa sukar sekali untuk mengambil tindakan ke atas mereka disebabkan ikatan perkahwinan antara mereka sah.

Yang pasti, kita tidak boleh halang mana-mana rakyat kita yang ingin berkahwin dengan warga asing. Namun harapnya jangan ada yang menjadikan perkahwinan itu hanya sebagai helah.

Lebih teruk, ada wanita tempatan yang dikahwini warga asing hanya untuk memudahkan mereka mendapatkan ‘lesen’ untuk berniaga. Selepas hajat mereka tercapai, dapat tapak niaga dan bisnes sudah berjalan, isteri ditinggalkan begitu sahaja.

Saya harap kerajaan dapat mencari jalan terbaik untuk mengelak perkara ini daripada berterusan.

Saya khuatir taktik ini semakin meluas digunakan termasuk oleh warga asing dari negara lain seperti Indonesia dan China. Jika tiada usaha membendung digerakkan secara serius, tidak mustahil ramai lagi wanita tempatan yang menjadi mangsa.

Rakyat bimbang,
Petaling Jaya

Berita BH wanita tempatan berkawin dengan warga asing, sila layari https://bit.ly/2o3cNYM

Berita Harian X