Selasa, 17 September 2019 | 10:01am

Perlu bertindak berdasarkan fatwa

Majlis Ulama ISMA (MUIS) bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman oleh Sisters in Islam (SIS) bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng.

Hakim Datuk Nordin Hassan memutuskan fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Selangor bahawa SIS Forum Berhad terpesong daripada ajaran Islam adalah sah dan tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang.

Fatwa berkenaan pada asasnya adalah suatu keperluan syarie dan siyasi (politik) demi memelihara umat Islam daripada sebarang ancaman kefahaman yang boleh menjejaskan syariat, khususnya aqidah umat Islam.

Kefahaman sesat liberal yang dibawa gerakan itu dalam merosakkan kefahaman asal umat Islam adalah perkara yang sudah diketahui umum.

Pendirian mereka dalam mendokong LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender), menolak pensyariatan tudung, memperlekeh fatwa, menolak hudud, mendokong penggunaan kalimah Allah di dalam Bible dan pelbagai kefahaman sesat lainnya, jelas menunjukkan konsistennya mereka dalam usaha merungkai asas syariat Islam sejak dahulu lagi.

Oleh itu, MUIS menyeru kerajaan sama ada di peringkat negeri atau persekutuan serta pemimpin politik dalam kalangan Islam perlu bertindak tegas berdasarkan fatwa ini.

Setiap daripada ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu kembali menjiwai sumpah Yang di-Pertuan Agong yang dilafazkan baru-baru ini bagi memelihara Islam pada setiap masa.

SIS perlu dikenakan tindakan tegas antaranya sesi kaunseling untuk memperbetulkan kembali fahaman Islam dalam kalangan mereka.

Ulama dan ‘umara' (pemimpin) perlu berdiri seiring dalam memelihara Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Umara perlu meletakkan ulama sebagai panduan dalam membuat sebarang polisi atau pendirian khususnya berkaitan kepentingan umat Islam.

Pandangan ulama serta pendirian umara adalah dua perkara saling melengkapi bagi menyempurnakan keislaman bumi Malaysia ini.

Begitu juga masyarakat Islam secara umum sepatutnya meletakkan isu berkaitan Islam sebagai asas yang sentiasa disepakati bersama. Perbezaan dalam hal politik atau perkara lain tidak sepatutnya dibawa sehingga menggadaikan asas syarak. Persepakatan dalam memelihara syarak daripada penyelewengan adalah suatu tuntutan terhadap seluruh umat Islam.

Moga Allah memelihara umat Islam khususnya di Malaysia daripada segala perancangan serta fitnah yang cuba meruntuhkan syarak sama ada daripada luar atau dalam.

Dr Mohd Soberi Awang
Pengerusi MUIS

Berita Harian X