Khamis, 2 Mei 2019 | 11:10am
GAMBAR hiasan - Papan tanda larangan merokok dipasang tentang larangan dan denda yang dikenakan di sebuah gerai di Kota Bharu, Kelantan. - Foto Syamsi Suhaimi

Perokok tidak wajar penting diri

Langkah Kementerian Kesihatan melanjutkan tempoh pendidikan larangan merokok di kedai makan dan restoran selama enam bulan lagi iaitu sehingga Disember, menerima pelbagai maklum balas daripada masyarakat.

Ada yang menyambutnya secara positif sebagai langkah membantu perokok yang masih sukar meninggalkan amalan buruk terbabit. Tidak kurang juga menganggap pihak berkuasa masih belum bersedia dalam menguatkuasakan larangan yang sepatutnya berakhir Julai ini.

Apa pun, saya menganggap usaha kerajaan untuk mewartakan larangan merokok di tempat makan sebagai usaha yang baik dan perlu disegerakan.

Alasan kononnya masih ramai yang sukar membuang tabiat merokok di tempat awam itu disifatkan tidak sepatutnya diterima. Jika dilihat kebaikan terhadap penguatkuasaan ini, bukan sekadar bertujuan melindungi mereka yang tidak merokok, tetapi dalam masa yang sama membantu mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan masyarakat kita.

Seharusnya usaha yang baik ini diteruskan dalam tempoh yang sudah ditetapkan. Saya percaya ramai dalam kalangan rakyat kita yang semakin ramai berpeluang melancong atau melawat ke luar negara.

Negara yang menjadi tumpuan lawatan rakyat negara ini seperti Australia, Jepun dan Korea Selatan sememangnya diketahui menguatkuasakan larangan merokok di premis makan.

Saya percaya rakyat kita yang melawat ke negara terbabit akan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Malangnya mereka membantah apabila penguatkuasaan cuba dilakukan di negara sendiri.

Rasanya tidak perlu dilanjutkan tempoh mendidik jika kerajaan benar-benar mahu menguatkuasakan larangan berkenaan kerana tempoh enam bulan yang diberikan sebelum ini dirasakan sudah mencukupi untuk mendisiplinkan mereka.

Masalah rakyat kita adalah kerana enggan mendisiplinkan diri dan menganggap perkara ini tidak penting demi memuaskan nafsu mereka untuk merokok.

Apa pun, kita mengharapkan tempoh sehingga Disember ini tidak akan dilanjutkan, selain berharap perokok tidak lupa dengan janji mereka untuk mematuhi larangan berkenaan.

Liza Ali
Seri Kembangan, Selangor

Berita Harian X