Jumaat, 12 April 2019 | 10:39am
- Gambar hiasan/ihsan keselamatan.uthm.edu.my

Pupuk integriti, elak rasuah cemari persekitaran OSH

Dalam usaha memerangi rasuah dan memupuk integriti, tumpuan harus diberikan kepada amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di semua tempat kerja.

Saya sering ditanya bagaimana amalan tidak beretika dan rasuah menjejaskan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Apakah kesan rasuah terhadap keselamatan di tempat kerja dan orang ramai.

Etika, kejujuran dan akhlak adalah unsur utama konsep integriti. Di tempat kerja, mereka yang bertindak penuh berintegriti sentiasa memberi kebenaran, bertanggungjawab, telus dan boleh dipercayai, serta melayani rakan sekerja, pihak berkepentingan dan pelanggan dengan hormat.

Integriti mesti diterap setiap individu menyertai organisasi agar menjadi sebahagian identiti mereka.

Amalan penipuan beri kesan

Institut Etika Perniagaan Malaysia (BEIM) melaporkan penghapusan penipuan adalah aspek penting dalam pengurusan keselamatan yang mampan, terutama dalam mengurus OSH, kemalangan atau berdekatan dengan tempat kerja.

Berikut beberapa contoh amalan penipuan yang boleh memberi kesan kepada keselamatan dalam satu atau lebih cara (a) Pembelian peralatan perlindungan diri (PPE) kualiti rendah atau tidak berkualiti meningkatkan risiko kecederaan pekerja; (b) Rekod tidak tepat, menyebabkan penilaian salah terhadap keadaan atau ciri-ciri berbahaya sesuatu produk atau pengasingan salah satu sokongan yang sangat diperlukan untuk memperbaiki persekitaran berisiko; (c) Mengambil jalan pintas, mengelak prosedur operasi standard (SOP), menyebabkan amalan tidak selamat; (d) Penyalahgunaan kuasa, mengakibatkan eksploitasi pekerja kurang mahir atau pekerja asing dalam persekitaran kerja berbahaya dan berisiko tinggi; dan (e) Konflik kepentingan, memberi kontrak kepada vendor kurang kompeten, mewujudkan bahaya keselamatan dan mendedahkan pekerja untuk mengendalikan persekitaran berbahaya tanpa perlindungan mencukupi.

Kita tidak boleh bertolak ansur dengan rasuah dan membiarkannya menjadi budaya dalam masyarakat kita, terutama dalam kalangan pengamal OSH.

Didik miliki integriti

Kita harus mendidik pengamal OSH memiliki integriti dan mengingkari rasuah. Kita perlu mengajar mereka nilai moral supaya apabila berada di tempat kerja, mereka menyedari kepentingan tidak terbabit rasuah.

Walaupun usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi rasuah dialu-alukan, amat jelas perjuangan harus bermula di semua tempat kerja.

Usaha harus terus dibuat untuk menanam nilai integriti dan etika kerana individu berintegriti tinggi tidak mungkin melakukan amalan rasuah dalam apa keadaan.

Dalam hubungan ini, NIOSH mengadaptasi topik ‘Memacu kecemerlangan KKP (OSH) berlandaskan Integriti Demi Masa Hadapan’ sebagai tema Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-22 (COSH 2019) pada 26 dan 27 Ogos depan.

Tan Sri Lee Lam Thye

Pengerusi NIOSH

Berita Harian X