Rabu, 27 Februari 2019 | 9:38am
Semua pihak terutamanya wanita perlu lebih berhati-hati dengan keadaan sekeliling agar tidak menjadi sasaran penjenayah.
Semua pihak terutamanya wanita perlu lebih berhati-hati dengan keadaan sekeliling agar tidak menjadi sasaran penjenayah.

Waspada, prihatin elak jadi sasaran jenayah

JENAYAH ragut, samun dan rompak semakin menular hari demi hari, dengan penjenayah hari ini begitu berani melakukan perbuatan itu walaupun di tempat awam.

Mengambil kira hal ini, tidak kira lelaki atau perempuan perlu lebih berwaspada, dengan beberapa langkah boleh diambil untuk mengelak menjadi sasaran jenayah.

Bagi yang memandu, pantau keadaan sekeliling sebelum keluar dari kereta. Jika ada individu tidak dikenali atau disyaki, rakam gambarnya dan hantar kepada keluarga atau kenalan berdekatan serta maklumkan kepada mereka jika terjadi apa-apa, gambar itu boleh dijadikan rekod dan bukti.

Mungkin juga boleh beralih ke tempat lebih selamat.

Waspada individu tidak dikenali

Sekiranya memandu di kawasan persekitaran rumah, pastikan tiada individu tidak dikenali mengekori. Jika ada, maklumkan kepada keluarga atau jiran berdekatan. Boleh juga teruskan pemanduan ke balai polis berdekatan.

Dalam kawasan rumah, elakkan membuka atau membenarkan mana-mana individu tidak dikenali masuk ke dalam premis.

Langkah terbaik kenal pasti dahulu individu terbabit melalui tingkap untuk memastikan keselamatan tidak diancam.

Penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) amat digalakkan masa kini, untuk memerhati dan merakam aktiviti di sekeliling dan di kawasan rumah.

Bagi wanita berkerjaya mereka perlu lebih peka dengan masa dan tempat. Elakkan dari memilih waktu yang kurang orang awam atau mengelak melalui lokasi sunyi atau terpencil.

Elak gunakan lif

Selain itu, elakkan menggunakan lif jika masa dan tempat agak sunyi. Berpenatlah sedikit menggunakan tangga dari diri parah dirompak.

Ramai mungkin mengambil ringan semua pendekatan di atas yang mungkin nampak mudah, namun cukup bermakna.

Mungkin kita boleh berbangga dengan pencapaian negara di mana dikategorikan sebagai membangun.

Namun, persoalannya, adakah nilai moral, sikap dan integriti rakyat berkembang menjadi lebih maju?

Jika di negara sendiri masih tidak selamat, adakah negara kita boleh mencapai tahap negara maju pada masa akan datang? Tepuk dada, tanyalah selera.

Adrina Rosseira Abu Talib

Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pasir Gudang, Johor

Berita Harian X