Selasa, 23 Oktober 2018 | 10:00am
Murid wajar menguasai kemahiran berenang bagi mengelakkan risiko lemas ketika mengikuti program di tepi pantai, laut atau sungai. - Foto hiasan
Murid wajar menguasai kemahiran berenang bagi mengelakkan risiko lemas ketika mengikuti program di tepi pantai, laut atau sungai. - Foto hiasan

iGuru sambut baik langkah kurangkan beban beg sekolah, aktiviti renang

iGuru menyambut baik inisiatif Kementerian Pendidikan bagi 2019, terutama langkah mengurangkan beban beg sekolah dan aktiviti renang bagi murid sekolah.

iGuru menyokong hasrat dan inisiatif ini, terutama bagi mengelakkan murid membawa beban buku yang banyak ke sekolah.

Sekolah perlu menyediakan almari atau rak buku di setiap kelas untuk memudahkan murid menyimpan buku dan membawa pulang buku latihan dan buku teks untuk kerja rumah.

Pengurangan beban beg ini bukan bermakna subjek yang diajar itu dikurangkan waktu dan bilangannya, tetapi menjadikan subjek itu setiap hari dalam lingkungan tiga hingga empat subjek bagi setiap kelas dan mengambil kira keanjalan masa guru mengajar dan nisbah guru murid.

Risiko lemas

Bagi cadangan aktiviti berenang, iGuru menyokong langkah itu memandangkan murid terdedah kepada risiko lemas ketika mengikuti program di tepi pantai, laut, sungai dan air terjun.

Mereka juga terdedah kepada bahaya jika berlaku banjir dan sebagainya.

Sukan renang amat baik untuk kesihatan dan latihan pernafasan. Renang dapat membantu meningkatkan oksigen ke otak, seterusnya menggerakkan seluruh anggota badan bergerak dan berfungsi yang baik untuk aliran darah dan kesihatan badan.

iGuru berharap kelab renang ditubuhkan di sekolah sebagai perintis kepada inisiatif itu, di samping menjadikan renang sebagai sukan semua orang, bukan hanya untuk golongan elit.

Kerjasama bolah dilakukan di antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan dalam menjadikan sukan renang sebagai sukan kebitaraan di sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains MARA.

Presiden iGuru,
Mohd Azizee Hasan

Berita Harian X