Isnin, 11 Jun 2018 | 7:41am
KWSP sudah mempraktikkan aspek tadbir urus yang telus. - Foto hiasan

Tiada notis daripada mana-mana pihak berkuasa siasat KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merujuk kepada segmen artikel yang ditulis oleh Prof Dr Norman Mohd Saleh, Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia, bertajuk 'Tadbir urus baik kurangkan ruang penyelewengan' yang diterbitkan BH pada Jumaat, 8 Jun 2018.

Dalam artikel itu, penulis menyenaraikan KWSP antara agensi yang berkemungkinan akan disiasat oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) yang baru ditubuhkan oleh kerajaan.

KWSP mengalu-alukan sebarang artikel dan pendapat mengenai kepentingan mempunyai struktur tadbir urus yang baik bagi membendung sebarang bentuk penyelewengan daripada berlaku.

Bagaimanapun, kami ingin menyatakan rasa kesal bahawa penulis sudah menyebut KWSP tanpa usul periksa, sama ada benar atau tidak siasatan sedang atau akan dijalankan ke atas KWSP.

Sehingga kini, pihak kami tidak menerima sebarang indikasi atau notis daripada mana-mana pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan ke atas KWSP.

Ketika mengumumkan penubuhan GIACC, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya kepada pihak media pada 2 Jun 2018 juga tidak menamakan sebarang agensi yang akan disiasat oleh GIACC.

Tindakan penulis untuk mengaitkan KWSP serta agensi lain yang disebut dalam artikel beliau dengan siasatan GIACC secara tidak langsung akan memberikan gambaran yang negatif terhadap organisasi kami yang sememangnya sudah mempraktikkan aspek tadbir urus, integriti, pengurusan risiko dan ketelusan dalam pelaporan yang baik.

Shahimah Shaharuddin
Timbalan Pengurus, Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP

Berita Harian X