Rabu, 30 Mei 2018 | 10:15am
Kedah miliki pelbagai tarikan berpotensi dibangunkan.

Kedah miliki pelbagai tarikan berpotensi dibangunkan

Rakyat Kedah mendapat kembali Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar, sekali gus mencatat cerita menarik yang dikaitkan tentang senario 'dua kali.'

Dua kali Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah menjadi Yang Di-Pertuan Agong, dua kali Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan dua kali juga anaknya, Mukhriz menjadi Menteri Besar.

Nama Dr Mahathir atau Che Det adalah warisan di mata rakyat Kedah dan sinonim dengan Kompleks Pekan Rabu kerana pernah berniaga pisang di situ, ketika Pekan Rabu hanyalah pasar minggu di bawah bangunan terbuka berbumbung atap.

Kompleks Pekan Rabu ialah jantung peniaga Melayu. Sebut sahaja Pekan Rabu, pasti rakyat khasnya golongan tua di Kedah terkenangkan Dr Mahathir yang pernah berniaga di situ.

Pekan Rabu adalah destinasi wajib dikunjungi jika pelancong berada di Alor Setar. Pelbagai barangan, termasuk ikan pekasam, songkok, kuih tradisional, kitab, caca, emping daripada padi pulut muda tersedia menanti anda.

Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dibuka pada 1984 di Jitra, menubuhkan Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM) pada 2003 selepas kampus baharunya beroperasi pada 1990.

Universiti pengurusan pertama terletak di Sintok itu ternyata memberi impak kepada pembangunan ekonomi pekan kecil Changlun, yang sebelumnya kurang dikenali.

Selain Masjid Zahir, Balai Besar, Balai Nobat dan Menara Alor Setar, ada Rumah Kelahiran Dr Mahathir di bawah kendalian Arkib Negara, beralamat di nombor 18, Lorong Kilang Ais dan di situlah Perdana Menteri keempat dan ketujuh dilahirkan tanggal 20 Disember 1925.

Sasterawan Negara dari Kedah

Kedah juga memiliki tiga Sasterawan Negara (SN), termasuk arwah Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad, Datuk Abdullah Hussin serta Datuk Zurinah Hassan.

Malah, Dr Mahathir sendiri memiliki jiwa seni yang mendorongnya menghasilkan sajak, termasuklah Perjuangan Belum Selesai, Melayu Mudah Lupa, Erti Kemerdekaan serta terbaru, Pada Yang Muda Kusematkan Harap, mengisahkan masa depan bangsa kita.

Selain tiga SN, Kedah juga melahirkan ramai pengarang kreatif yang hebat, namun berbanding kebanyakan negeri lain, ia masih belum mewujudkan majlis penganugerahan atau hadiah sastera bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan pengarang kreatif.

Justeru, sudah tiba masanya kerajaan negeri pimpinan Mukhriz melihat usaha yang belum menjadi kenyataan ini.

Rumah Shahnon di Kampung Banggul Derdap, Sik perlu dipulihara Arkib Negara untuk generasi hari ini, menatap keunggulan pengarang tersohor itu.

Kedah turut terkenal dengan sistem pendidikan pondok yang wujud di kebanyakan daerah dan melahirkan generasi ulama yang tiada noktah.

Sejarah terdapat lebih 40 pondok di Kedah, termasuk Pondok Yahya Junid (Pak Ya) di Padang Lumat yang terbakar pada 1989 hingga mengorbankan 27 pelajar sebagai tragedi menyayat hati.

Mengenai makanan, antara yang terkenal dan melekat di hati adalah Mi Abu, Ishak Mi Bandung, Nasi Lemak Ali, Popia Jamal, Laksa Telok Kechai, Pasembor Kodiang Kari Ceroi Ikan Temenung di Batas Pahit dan Kari Ceroi Kepala Ikan di Seberang Kota, Kuala Kedah.

Di Tanjung Dawai, Kuala Sala dan Kuala Kedah pula terkenal dengan belacan dan ikan kering. Sampai di Kuala Kedah jangan lupa menjamah laksa, pulut sambal dan Mi Abbas, manakala dari Yan Besar ke Tanjung Dawai, kita akan jumpa Naim Gulai Sembilang di Sungai Pial.

Destinasi pelancongan

Kedah turut memiliki banyak destinasi pelancongan yang perlu dipromosikan sebaik mungkin. Suasana kampung berlatarkan sawah yang mendamaikan, mengundang ketenangan.

Langkawi yang terdiri daripada 99 pulau, terkenal dengan air dan minyak gamatnya, beras terbakar, Makam Mahsuri dan Gunung Mat Cincang.

Dari pulau sumpahan padang jarak padang terkukur lantaran kisah legenda Mahsuri yang tidak dikenali, Langkawi dikenali seantero dunia. Itulah jasa besar Dr Mahathir buat Langkawi yang mendapat jolokan Pulau Seri Negeri.

Dalam perjalanan ke Yan Besar sambil sawah padi terbentang di kiri dan kanan laluan, ada pengusaha warung menjual air nira dan misan nipah.

Dari puncak Gunung Jerai pula boleh menyaksikan pemandangan indah hamparan sawah dan pulau seperti Pulau Bunting dan Pulau Telor, jika tiada awan yang menghalang pandangan.

Pantai Merdeka satu-satunya destinasi mandian laut di tanah besar Kedah. Muzium Arkeologi Lembah Bujang Merbuk ada candi yang mengukir sejarah lama Kedah.

Yan Besar ada Pantai Murni dan Air Terjun Puteri Mandi di Hutan Lipur Titi Hayun dan kampung cantik iaitu Kampung Raga, manakala Yan Kecil ada kawasan Air Terjun Seri Perigi.

Di Baling, ada air terjun Hutan Lipur Lata Bayu dan di Sik, ada Rimba Rekreasi Lata Mengkuang.

Datang ke Kodiang ada pula Gua Kerbau yang cantik. Di Alor Gunung, ada Gunung Keriang yang ketinggian 217.92 meter dan berhampiran gunung itu tersergam Muzium Padi dibuka pada 2004.

Emping dan ringgi diperbuat daripada padi pulut muda terkenal di Kampung Pulau Timbul berdekatan dengan Tunjang, Jitra. Terlalu banyak untuk bercerita tarikan yang ada di Kedah. Berkunjunglah ke Kedah bagi yang belum.

Dalam membangunkan Kedah, selain pembangunan dan pendidikan, aspek kebudayaan juga tidak boleh dipinggirkan. Seluruh budayawan yang ada di Kedah juga perlu dibabitkan dalam usaha memasyhurkan Kedah.

Dr Ghazali Din,
Penasihat Himpunan Anak Kedah, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X